Proton e.MAS sudah boleh ‘view’ di Kuching
Pusat Jualan Proton e.MAS Ghee Hua Kuching Rasmi Dilancarkan, Sokong Mobiliti Hijau Malaysia. Pelancaran pusat jualan Proton e.MAS dan bilik pameran pintar baharu oleh Syarikat Ghee Hua Company Sdn Bhd, menandakan pencapaian penting malam tadi di Jalan Abell, Kuching.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang menekankan kepentingan kenderaan elektrik (EV) pertama jenama tempatan Malaysia serta pengiktirafannya sebagai kenderaan rasmi bagi jawatan pengerusi ASEAN Malaysia 2025.

“Pelancaran pusat pameran baharu Proton e.MAS7 di Ghee Hua adalah satu kebanggaan bagi kita semua kerana ia menunjukkan bahawa syarikat tempatan kita telah diberi kepercayaan oleh syarikat automotif negara untuk mempamerkan kenderaan elektrik buatan Malaysia,” katanya dalam ucapan perasmian.
Beliau turut menyatakan bahawa kemasukan e.MAS7 ke pasaran tempatan, khususnya di Kuching, sejajar dengan aspirasi Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) serta komitmen Malaysia terhadap mobiliti lestari.
Sarawak akan terus perluas pelan hala tuju EV
“Inisiatif ini juga menyokong visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk mewujudkan sistem pengangkutan lestari yang dijana oleh tenaga hijau dan boleh diperbaharui.
“Justeru, pelancaran pusat pameran dan pengedar baharu Ghee Hua ini menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh komitmen Malaysia terhadap mobiliti mampan dengan menggalakkan penggunaan EV dan mengurangkan jejak karbon negara,” tambahnya.
Abdul Karim turut menyatakan bahawa kerajaan Sarawak akan terus memperluaskan pelan hala tuju EV dalam usaha menuju masa depan yang lebih hijau dan inovatif.
Pengarah eksekutif Ghee Hua, Kevin Law, berkata pelantikan sebagai pengedar Proton e.MAS7 merupakan pencapaian penting dalam memperluaskan portfolio perniagaan syarikat.
“Kami amat bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi pengedar Proton e.MAS7 dan kenderaan elektrik SMART.
“Langkah ini bukan sahaja mengembangkan perniagaan kami ke dalam sektor EV, tetapi juga meletakkan syarikat kami sebagai penyumbang kepada matlamat Malaysia untuk beralih kepada masa depan yang lebih hijau dan bersih, dengan sasaran peningkatan penggunaan EV kepada 20 peratus daripada jumlah jualan kenderaan tahunan menjelang 2030,” katanya.
Proton e.MAS7 dijual pada harga RM 108,000 hingga RM 126,000
Proton e.MAS7 dijual pada harga antara RM108,000 hingga RM126,000, menampilkan ruang dalam yang luas, kapasiti pengecasan pantas AC dan DC, serta rekaan yang diuji khusus untuk keadaan jalan raya di Malaysia.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd, Roslan Abdullah; Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersatu Sarawak, Datuk Tan Jit Kee; Ketua Pegawai Maklumat Proton New Energy Technology Sdn Bhd, Sua Chek Hoong; serta Pemimpin Masyarakat Cina Bahagian Samarahan, Temenggong Liew Shark Sen.

