Rendang mudah basi dan rosak? Baca tips ini
Rahsia Simpan Rendang Tahan Lama Hingga 3 Bulan, Ini Tips Dari Public Health Malaysia. Rendang merupakan salah satu hidangan tradisional yang paling terkenal dan diminati setiap lapisan masyarakat di Malaysia. Namun, rendang juga dikenal sebagai hidangan yang mudah basi dan sukar dijaga kesegarannya.
Oleh itu, untuk mengelakkan rendang dari mudah basi dan boleh tahan selama 3 bulan, Public Health Malaysia telah memberikan beberapa tips penting yang boleh diikuti oleh semua orang.
Ini antara rahsianya!
Menurut hantaran di Facebook rasminya, PHM berkata, hidangan rendang sebaiknya dimasak hingga kering kerana kelembapan adalah sumber pertumbuhan bakteria.
Selepas dimasak kering, rendang tersebut boleh dimasukkan ke dalam bekas-bekas kecil sebelum disimpan di dalam peti sejuk.
“Rendang juga boleh dihidang dalam kuantiti sikit, elakkan hidang di dalam bekas besar dan mencedok dari bekas tersebut.
“Makanan juga selamat jika disimpan dalam suhu bilik maksimum selama empat jam. Selepas dari tempoh itu, bakteria dalam makanan akan menjadi aktif,” katanya.
Selain itu, rendang boleh dipanaskan dalam kuali dengan api perlahan dan pastikan pemanasan sekata.
Boleh juga simpan dalam peti sejuk beku!
“Jika disimpan dalam peti sejuk beku, nyahbekukan dalam ketuhar gelombang mikro atau suhu bilik sebelum dihangatkan.
“Pemanasan semula perlu dilakukan dalam masa dua jam selepas makanan dikeluarkan dari peti sejuk beku,” tambahnya.
Dalam pada itu katanya, rendang yang disimpan di dalam peti sejuk boleh bertahan selama tiga hari manakala hidangan yang disimpan di dalam peti beku boleh tahan selama tiga bulan.