Jom sama-sama bongkar 5 Mitos kesihatan ini!
Mari Bongkar 5 Mitos Kesihatan Yang Ramai Lagi Masih Percaya Sehingga Hari Ini. Di era globalisasi ini, perkongsian maklumat berlaku dengan amat mudah sehingga ramai yang keliru manakah perkara yang benar dan mana yang tidak benar. Tetapi, sampai sekarang masih lagi wujud mitos mengenai kesihatan yang memang ramai lagi masih percaya walaupun ramai pihak yang telah membuktikan dan menjelaskannya.
1. Minum 8 gelas air sehari
Sehingga kini ramai lagi yang masih percaya bahawa anda harus minum sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari. Tahukah anda sumber tersebut adalah Cadangan Lembaga Pemakanan dan Khasiat Amerika Syarikat; 1945 yang menyatakan setiap orang perlu minum kira-kira 2.5 liter air sehari.
Namun demikian, kebanyakan orang lupa membaca ayat seterusnya dalam cadangan terbabit iaitu `kebanyakan kuantiti air diperlukan itu terkandung di dalam makanan’. Pakar Pediatrik, Universiti Indiana Amerika Syarikat, Aaron E Caroll, berkata ini bermakna kuantiti air boleh didapati dalam bentuk makanan dan tidak semestinya dalam bentuk air.
Ulasan daripada Pakar Fisiologi Sekolah Perubatan Dartmouth, AS, Heinz Valtin, mendapati tiada rujukan berkaitan minum lapan gelas air sehari. Beliau mengakui terdapat cadangan Lembaga Pemakanan dan Khasiat Pemakanan 1945 yang mengatakan banyak cecair terdapat di dalam makanan yang kita makan. “Mesej ini sering dilupakan,” katanya.
2. Cukur bulu akan buat bulu tumbuh lebih cepat
Masih ramai lagi yang berfikiran bahawa kalau kita mula mencukur bulu di bahagian badan kita, ianya akan mula tumbuh dengan lebih lebat. Perkara ini adalah tidak benar kerana menurut kajian yang dijalankan sejak tahun 1928 lagi, telah membuktikan tiada hubungan diantara kekerapan mencukur dengan kadar pertumbuhannya.
Sebenarnya, setiap kali kita mencukur apa yang kita lakukan adalah kita sedang memotong bahagian bulu yang sudah pun mati sementara bahagian folikel kulit yang menghasilkan bulu tersebut tidak terkesan dengannya.
3. Membaca dalam gelap akan rosakkan mata
Mesti ramai lagi yang percaya tentang mitos ini kan? Mitos ini amatlah popular kerana kita boleh melihat logiknya, lebih-lebih lagi apabila kita membaca dalam gelap mata kita akan mula berasa sakit.
Memang benar bahawa jika anda membaca dalam keadaan yang tidak cukup cahaya, ianya akan menyebabkan fenomena ketidakselesaan pada mata anda. Kita akan lebih kerap mengelipkan mata yang menjadikan mata kita mudah kering lalu berlakunya kesukaran bagi mata kita untuk fokus. Namun, semua perkara itu adalah bersifat sementara sahaja ianya tidak bersifat kekal.
4. Tidak boleh minum air sejuk masa tengah datang bulan
Menurut Unicef, minum air sejuk tidak akan memberhentikan kitaran darah haid wanita. Kitaran Haid dihubungkan dengan Sistem Pembiakan (Reproductive System), manakala jika kita makan dan minum ianya pula dihubungkan dengan Sistem Pencernaan (Digestive System). Sitem Pembiakan dan Sistem Pencernaan adalah dua perkara yang berbeza.
Oleh demikian, tiada risiko bahawa kitaran haid wanita akan berhenti atau darah wanita akan membeku jika makan makanan tertentu atau minum minuman yang sejuk. Jika kitaran haid wanita itu lambat, ini adalah berkemungkinan akibat letih, stress atau sebarang penyakit yang boleh menjejaskan kitaran haid wanita.
5. Makan kacang akan buat muka naik jerawat
Gaya pemakanan yang sihat sebenarnya yang akan menentukan jumlah jerawat di muka anda. Kebanyakan individu yang mengalami masalah kulit berjerawat adalah kerana masalah kulit berminyak dan gaya pemakanan yang tidak sihat. Makanan berminyak seperti mentega kacang, coklat dan makanan segera yang berlebihan sememangnya akan memudaratkan kulit dan kesihatan anda.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Parker Magin dari University of Newcastle, New South Wales, Australia menyatakan, bahawa kacang tiada kaitan dengan berlakunya jerawat pada kulit. Ianya dinyatakan berdasarkan pemerhatian yang di lakukan di Paraguay dan New Guinea yang mengamalkan gaya pemakanan tradisional, dan hal ini sekaligus merangkumkan bahawa masalah yang berlaku mungkin berkait rapat dengan gaya pemakanan seseorang individu tersebut.