Mangsa juga berusia 15 tahun dan merupakan sepupu tertuduh.
Remaja 15 Tahun Rogol Sepupu Bawah Umur Di Sarawak, Dihantar Ke Sekolah Henry Gurney. Kes rogol bawah umur semakin hari semakin membimbangkan pada masa kini. Dilaporkan bahawa, Mahkamah Majistret Kuching telah memerintahkan seorang remaja lelaki untuk dihantar ke Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo atas kesalahan merogol sepupu wanitanya yang berusia 15 tahun.
Tertuduh dihantar ke sekolah Henry Gurney Puncak Borneo
Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan pesalah muda yang berusia 15 tahun itu dihantar ke sekolah berkenaan selama tiga tahun berkuatkuasa hari ini, setelah meneliti laporan akhlak dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pada 25 Jun yang lalu, tertuduh mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. Oleh itu, mahkamah menetapkan kes disebut semula semalam untuk mendengar laporan akhlak remaja tersebut.
Mangsa mengandung selama lebih kurang tujuh bulan
Mengikut pertuduhan, remaja yang tidak diwakili oleh mana-mana peguam tersebut didakwa merogol mangsa dalam satu kejadian antara 1 Januari hingga 31 Disember 2019, di kediaman mereka yang terletak di Siburan.
Berdasarkan keterangan kes ibu mangsa (pengadu), dia telah menyedari bahawa terdapat perubahan fizikal pada tubuh badan anaknya (mangsa) iaitu perutnya semakin membesar. Pengadu seterusnya membawa mangsa ke klinik untuk pemeriksaan dan doktor kemudian mengesahkan mangsa mengandung selama lebih kurang tujuh bulan.
Difahamkan, mangsa mengaku melakukan hubungan seks dengan sepupunya (pesalah muda), yang dipercayai tinggal sebumbung dengan mangsa. Sehubungan itu, pengadu membuat laporan polis untuk tindakan yang lebih lanjut.
Kesalahan merogol kekasih bawah umur berusia 14 tahun
Dalam masa yang sama satu kes berasingan, seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun turut diperintahkan oleh Mahkamah Majistret di sini untuk dihantar ke Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo selama tiga tahun berkuatkuasa hari ini atas kesalahan merogol kekasih bawah umur berusia 14 tahun.
Remaja lelaki tersebut mengaku bersalah mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan dilaporkan merogol mangsa dalam satu kejadian pada 6 Februari lalu, jam 8 pagi di sebuah pangsapuri terletak di Jalan Wan Alwi, di sini. Berdasarkan keterangan kes, kedua-dua remaja tersebut pergi ke pangsapuri berkenaan untuk majlis sambutan hari jadi mangsa dan seterusnya melakukan hubungan seks.
Kedua-duanya dilaporkan masih bersekolah dan merupakan pasangan kekasih yang telah menjalinkan hubungan sejak bulan Disember 2020. Difahamkan bahawa, bapa mangsa membuat laporan polis sehingga membawa kepada penangkapan remaja tersebut.
Jika ada sesiapa di luar sana menjadi mangsa serangan seksual, lapor segera kepada pihak berkuasa agar tindakan yang sepatutnya boleh diambil. Walaupun penyerang merupakan individu yang anda kenali atau sayangi, mereka masih penjenayah yang perlukan hukuman setimpal.
