Sebanyak 1,541 Kes Tanpa Simptom Dikesan Di Negara Tersebut
Risau COVID-19 Kembali Tular, Kes Tanpa Simptom Kini Dilapor Sebagai Kes Positif Di China. Walau pun kes COVID-19 di China kini sudah melepasi fasa kemuncak, namun kehidupan selepas COVID-19 belum menjamin semua individu dapat melakukan aktiviti seharian seperti sebelum ini. Terbaharu, pihak berkuasa kesihatan China kini melaporkan kes COVID-19 yang tidak menunjukkan simptom (asymptomatic) sebagai kes positif dalam jumlah harian kes di China.
Hal ini susulan kebimbangan rakyat republik itu terhadap peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang tidak bergejala seperti demam, dan sesak nafas. Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NRC), sehingga Isnin (30 Mac 2020), sebanyak 1,541 kes tanpa simptom dikenal pasti dan dipantau oleh pihak kesihatan China. Jumlah tersebut termasuklah 205 bilangan kes import dari luar negara.
Saringan Dan Kuarantin Kes COVID-19 Tanpa Simptom Akan Diperketat
Pegawai tinggi NRC, Chang Jile, memberitahu bahawa pihak berkuasa juga bakal mengetatkan proses saringan serta kuarantin kepada individu yang disahkan positif namun tidak menunjukkan sebarang gejala.
Sebelum ini, kes positif COVID-19 yang tidak bergejala tidak dimasukkan ke dalam data angka positif berdasarkan garis panduan kerajaan China.
Kes tanpa simptom beserta kontak rapat nya akan diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari serta merta selepas menerima pengesahan positif.
Walau bagaimanapun, arahan kuarantin akan ditarik balik sekiranya dua kali hasil ujian berturut-turut adalah negatif. Ujian tersebut pula perlu dilakukan dengan jarak tempoh 24 jam.
Pemimpin kanan China, Li Keqiang, pula menggesa agar kes tanpa gejala ini harus diberikan tumpuan penuh seawal dari langkah pengesanan, pengesanan kontak, pengasingan, dan rawatan. Ia bagi memastikan sebarang kelemahan sepanjang tempoh pembendungan dapat diatasi segera.
Terdahulu, seorang wanita di wilayah Henan telah dijangkiti COVID-19 setelah berjumpa dengan seorang doktor tempatan yang disahkan sebagai pesakit COVID-19 tanpa gejala.
Walau pun China kini bersedia untuk mengakhiri perintah berkurung di wilayah tengah China itu, kes di Henan telah menimbulkan pelbagai reaksi dan kebimbangan tentang bahaya pesakit tanpa gejala dan ketelusan pihak berkuasa melaporkan kes sedemikian.