Wanita terima RM30,000 secara tak sengaja, bertindak jujur pulangkan kepada pemilik asal
RM30K Salah Masuk Akaun, Tindakan Mulia Wanita Dipuji Kerana Pulangkan Wang Kepada Pemilik. Satu hantaran tular di media sosial mengenai seorang wanita bernama Irriana Azreen mengembalikan wang sebanyak RM30,000 yang tersalah dimasukkan ke dalam akaun banknya oleh pihak yang tidak dikenali.
Menerusi perkongsiannya di laman X, walaupun menerima jumlah wang yang besar itu, dia tidak menganggapnya sebagai rezeki. Sebaliknya, dia mengasingkan wang tersebut dan menyimpannya di dalam akaun tabungan Maybank.

Selama dua minggu, dia menunggu pemilik wang yang sebenar untuk menuntutnya, namun tiada yang berbuat demikian. Jadi, Irriana terpaksa menjejaki sendiri sumber wang itu.
Agensi syarikat pelancongan silap transfer disebabkan salah dua digit terakhir nombor akaun
Selepas sebulan, dia berjaya mengesan wang yang tersalah dihantar oleh sebuah agensi syarikat pelancongan akibat kesilapan memberikan dua digit terakhir nombor akaun yang salah.
Irriana meminta bantuan kenalannya dalam bidang pelancongan untuk mengesan agensi berkenaan. Untuk memastikan dia tidak ditipu, dia meminta maklumat terperinci seperti resit, jumlah wang, nombor akaun dan lain-lain daripada agensi itu sebelum memulangkan wang tersebut.
Bagaimanapun, menjengah ke ruangan komen, tindakan Irriana yang jujur dan bertanggungjawab ini mendapat pujian dari netizen.
Malah, mereka mendoakan agar dia dimurahkan rezeki kerana sikap jujurnya dan menyeru orang ramai mencontohi kelakuan sedemikian jika berlaku perkara sama pada masa hadapan.

