Harga yang anda beli pada ketika ini adalah harga RON95 dan diesel yang disubsidikan oleh kerajaan.
RON95 Dan Diesel Mungkin Lebih Mahal, Malaysia Dijangka Ikut Harga Pasaran Mulai 2023. Pengguna kenderaan di Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi kenaikan harga bahan api RON95 dan diesel mulai tahun 2023 akibat mekanisme subsidi penuh yang bakal ditukar kepada subsidi bersasar.
Menerusi satu nota penyelidikan yang diterbitkan oleh Maybank Investment Bank (Maybank IB), harga RON95 dan diesel di Malaysia dijangka akan dijual mengikut harga pasaran mulai tahun 2023 sebaik sahaja subsidi bersasar dilaksanakan pada tahun depan.

Justeru, pengguna terpaksa membayar harga minyak yang lebih mahal sekiranya mereka tidak tergolong dalam golongan yang layak menerima subsidi bersasar terbabit.
Subsidi bahan api ini akan disemak semula pada tahun hadapan sebagai salah satu daripada agenda Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada 7 Oktober 2022.
Subsidi bersasar sedang diuji, harga minyak tak akan naik mendadak
Difahamkan, mekanisme subsidi bersasar sedang diuji dan ujian telah dimulakan pada bulan Julai 2022 dan akan berjalan selama 3 hingga 6 bulan. Jelas Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ujian ini perlu dilakukan sebelum kerajaan benar-benar mahu melaksanakan sistem subsidi baharu itu.
Walau bagaimanapun, Tengku Zafrul pada 19 Julai 2022 yang lalu memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menaikkan harga petroleum terus pada harga pasaran tanpa subsidi memandangkan impaknya kepada inflasi walaupun harga RON95 adalah 50 peratus daripada harga kos sebenar atau subsidi.

Subsidi Malaysia tahun 2022 mencecah RM 80 billion
Untuk tahun 2022, jumlah pembiayaan keseluruhan subsidi pada tahun ini dijangka mencecah RM 80 billion. Justeru, bagi menampung pembiayaan terbabit, kerajaan telah mengarahkan kementerian dan agensi untuk mengambil langkah penjimatan seperti kawalan terhadap lawatan ke luar negara, barangan import dan perbelanjaan belum komited.
Menurut nota penyelidikan yang disediakan oleh tiga penganalisis Maybank IB iaitu Dr Zamros Dzulkafli, Suhaimi Ilias dan Fatin Nabila Mohd Zaini itu lagi, unjuran kadar inflasi pada tahun 2022 adalah berjumlah 3.3%, manakala kadar inflasi untuk tahun 2023 diunjurkan pada kadar 4.0%.
Kadar OPR akan naik 2 kali lagi menjelang akhir tahun 2022
Maybank IB turut menjangkakan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 2.75% menjelang akhir tahun ini. Ini adalah ekoran daripada trend kadar inflasi tahunan yang semakin meningkat, namun memiliki pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh pada suku kedua 2022 dan secara keseluruhannya tahun ini.

Kenaikan tersebut dijangka akan diumumkan dua kali, iaitu antara 7 hingga 8 September 2022 dan 2 hingga 3 November 2022.
Nasihat penulis, di zaman yang serba tidak menentu ini, banyakkan lah menyimpan daripada berbelanja.