10 bungkusan plastik warna hitam yang berisi 80 kilogram daun ketum ditemui di bahagian belakang kereta suspek.
Salahguna Kebenaran Rentas Daerah, Polis Cekup Lelaki Kantoi Bawa Masuk 80 Kilogram Ketum Di Sabah. Dilaporkan bahawa seorang lelaki ditahan selepas membawa sejumlah bungkusan mengandungi daun ketum semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) Op COVID-19 di Kilometer 7 Jalan Tambunan – Kota Kinabalu, Sabah.
Suspek menunjukkan kelakuan mencurigakan
Menurut Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain, suspek yang menaiki kenderaan pacuan empat roda itu ditahan di sekiar jam 11.40 pagi semalam.
“Hasil pemeriksaan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mendapati suspek berumur lingkungan 30-an itu menunjukkan kelakuan mencurigakan.
“Pemeriksaan terhadap kenderaan dinaiki suspek kemudiannya menemukan 10 bungkusan plastik warna hitam yang berisi daun ketum di bahagian belakang,” jelas beliau.
Salahgunakan surat rentas daerah untuk tujuan lain
Beliau berkata, suspek dalam perjalanan pulang ke Ranau selepas memperoleh bekalan daun ketum dari Tenom.
“Suspek juga didapati menyalahgunakan surat rentas daerah untuk tujuan lain dan daun ketum seberat 80 kilogram yang diperoleh itu diproses menjadi air ketum sebelum diedarkan di Ranau.
“Suspek dipercayai menjalankan kegiatan ini sejak awal tahun ini,” ujar beliau.
Suspek yang merupakan warga tempatan itu kini direman selama empat
Shahrudin juga turut menjelaskan bahawa suspek yang merupakan warga tempatan itu kini direman selama empat hari mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1852 kerana memiliki daun ketum yang mengandungi Mitragynine yang boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta sama.
“Jila sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.
“Gejala penyalahgunaan ketum harus dipandang serius kerana ia mengandungi bahan alkaloid psikoaktif yang menyebabkan ketagihan,” kata beliau.
Beliau juga menegaskan bahawa memiliki atau menjual sebarang bentuk dedaun atau cecair ketum merupakan satu kesalahan.
“Polis mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripara orang awam untuk sama – sama membanteras kegiatan penyalahgunaan ini,” tambah beliau.