Sarawak menuju sifar kes semula!
Samarahan Kembali Hijau, Rentas Zon Tak Perlu Permit Mulai 15 Ogos. Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini, Samarahan telah kembali ke status hijau daripada status kuning sebelum ini.
Setakat ini, tinggal 2 kawasan di Sarawak yang masih berada di Zon Kuning iaitu Bahagian Kuching dengan 16 kes manakala daerah Lundu dengan 1 kes.
Sarawak juga tidak mencatatkan kes positif hari ini namun masih kekal dengan 10 kluster aktif seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Dalam pada masa yang sama, 4 kes baru telah pulih dan discaj dari Hospital Umum Sarawak hari ini. Walau bagaimanapun, 6 orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital.
Rentas zon dibenarkan tanpa permit mulai 15 Ogos ini
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak hari ini juga telah membuat keputusan bahawa pergerakan rentas zon tidak lagi memerlukan permit daripada pihak polis berkuatkuasa mulai 15 Ogos 2020.
Kelonggaran ini telah dibincangkan bersama dengan pihak KKM serta industri pelancongan dari sudut kesihatan dan ekonomi.
Bagi premis perniagaan pula, pematuhan SOP akan diperketatkan dengan mewajibkan semua pelanggan atau pelawat untuk merekodkan butiran peribadi mereka.
Ini termasuklah nama dan nombor telefon yang sah secara manual mahupun menggunakan aplikasi seperti MySejahtera, Qmunity atau pun COVIDTrace.
Terus amalkan penjarakan fizikal dan patuh pada SOP setiap masa. Kita mesti menang!
