Sarawak Berkuasa Tentukan Pengagihan Minyak Dan Gas. Sarawak mempunyai kuasa dalam membuat keputusan mengenai pengagihan sumber minyak dan gas (O&G) di dalam wilayah negeri ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, Sarawak mengakui kewujudan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 yang memberikan kuasa kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menguruskan semua sumber O&G di peringkat kebangsaan.

“Kita terima perkara ini, tetapi pengeluaran minyak dan gas dalam wilayah Sarawak mestilah melibatkan peranan negeri. Sebab itu kita tubuhkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Petros akan bekerjasama dengan Petronas.
“Kita juga ada kuasa dalam pengagihan gas. Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah bersetuju bahawa Petros akan menjadi agregator utama dalam pengedaran gas di Sarawak,” katanya ketika ditemu bual selepas menyampaikan syarahan umum di Institut ISEAS Yusof Ishak, Singapura, hari ini.
Abang Johari menjelaskan bahawa Petros dan Petronas berkongsi fungsi yang sama dan berdasarkan persefahaman, Petros turut memainkan peranan penting dalam industri minyak dan gas di Sarawak.
Bulan lalu, Anwar mengesahkan bahawa Petros telah diberikan kuasa sebagai agregator gas Sarawak dan perkara itu tidak akan mengganggu operasi sedia ada Petronas.
“Petronas masih mengekalkan kuasa secara nasional, tetapi memberi ruang kepada Sarawak untuk mengurus pengagihan gas bagi kegunaan tempatan. Ini adalah contoh kerjasama baik antara kedua-dua entiti,” katanya dalam satu sidang media di Abu Dhabi.

