Sarawak bakal bina masa depan industri berteknologi tinggi!
Sarawak Teroka Taman Perindustrian Aeroangkasa, Pacu Industri Teknologi Tinggi. Dilaporkan, Sarawak sedang meneroka penubuhan Taman Perindustrian Aeroangkasa bagi mengukuhkan kedudukan sebagai hab pengeluaran komponen aeroangkasa bernilai tinggi serta pusat penyelidikan dalam bidang ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata bahawa projek ini berpotensi menarik pelaburan besar dalam pembuatan aeroangkasa sekaligus merancakkan kerjasama dalam sektor ini.
“Industri aeroangkasa berkembang pesat di ASEAN, dan Sarawak bersedia menjadi pemain utama dalam bidang ini. Dengan lokasi strategik serta komitmen terhadap inovasi berteknologi tinggi, kita boleh menarik lebih banyak pelaburan dan kepakaran,” katanya dalam Forum Perniagaan dan Ekonomi ASEAN Sarawak 2025, semalam.

Sarawak sudah bersedia untuk latihan pakar aeroangkasa
Sarawak bukan sahaja ingin menjadi pusat pengeluaran, tapi juga mahu melatih tenaga kerja mahir dalam bidang aeroangkasa. Oleh tu, Akademi Aeroangkasa bakal diwujudkan di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
Akademi ini akan melatih rakyat Sarawak dalam kejuruteraan aeroangkasa, teknologi dron, dan pembuatan satelit bagi memenuhi permintaan tenaga kerja di masa hadapan.

Syarikat penerbangan AirBorneo
Bukan setakat pengeluaran komponen, Sarawak juga akan mengukuhkan laluan penerbangan serantau dengan pelancaran syarikat penerbangan negeri, AirBorneo.
“Sebagai syarikat penerbangan yang berpangkalan di Sarawak, AirBorneo bukan sahaja akan memperluaskan akses antarabangsa, tetapi juga membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, perdagangan dan logistik. Kita bukan sekadar sebahagian daripada ruang udara ASEAN, kita turut mencorakkannya,” kata Abang Johari.
Sebagai rekod, pada 12 Februari lalu, Kerajaan Sarawak telah memuktamadkan pengambilalihan MASWings daripada Malaysia Aviation Group (MAG), dan nama baru bagi syarikat tersebut kini adalah AirBorneo.
Dengan perancangan mega ini, Sarawak dilihat bersedia untuk menakluki industri aeroangkasa! Apa pendapat anda?

