Regatta Sarawak kini sudah mencecah usia 151 tahun
Sejarah Regatta Sarawak, Sukan Air Tertua Di Dunia. Hujung minggu ini Bandaraya Kuching bakal menjadi tumpuan pasukan pendayung sedunia untuk merebut gelaran raja sungai di Sarawak. Regatta Sarawak sememangnya menjadi acara tradisi yang ditunggu-tunggu oleh penduduk setempat.
Namun, tahukah anda bahawa Regatta Sarawak ini bukan sahaja acara sukan tahunan biasa? Fakta menarik, Regatta Sarawak rupanya sukan air yang tertua di dunia!

Diadakan untuk mengelakkan aktiviti berburu kepala musuh antara suku kaum Sarawak
Regatta Sarawak adalah sebuah sukan yang mula dianjurkan pada tahun 1872 semasa era Charles Brooke. Jadi, kalau mengikut pengiraan sehingga tahun 2023, sukan air sinonim di bumi Kenyalang ini sudah mencecah usia 151 tahun.
Pada asalnya, acara sukan air ini dianjurkan adalah untuk menghentikan peperangan antara suku kaum tempatan di Sarawak. Seruan untuk mencabar antara satu sama lain melalui perlumbaan perahu dan bukannya berburu kepala berjaya mewujudkan perdamaian di Sarawak pada ketika itu. Justeru, kampung-kampung di seluruh Sarawak akan menghantar wakil mereka untuk bersaing dalam regata demi merebut gelaran ‘Raja Sungai’ yang sangat dikehendaki, justeru menjadikannya suatu majlis keakraban, kerjasama pasukan dan persaingan sihat yang hebat.

Dalam pada masa yang sama, acara yang diadakan di Sungai Sarawak ini juga signifikan dengan peranan sungai yang menjadi pintu masuk ke Kuching, tempat untuk berniaga barangan penting, berkomunikasi dengan dunia luar, dan perlindungan daripada ancaman musuh.
Meskipun kini ia dianjurkan bagi mengekalkan tradisi penganjuran, namun secara tidak langsung, sukan ini masih menjadi medan penyatuan dalam kalangan pendayung yang berbilang bangsa, bahkan juga pengunjung tempatan yang terdiri daripada pelbagai suku masyarakat. Malah masyarakat dari pelbagai pelosok dunia juga.

Acara merebut gelaran Raja Sungai menjadi tarikan utama
Regata Sarawak adalah acara tahunan yang diadakan di Kuching, Malaysia, dan menampilkan pelbagai kategori perlumbaan perahu. Acara utama ialah merebut gelaran ‘Raja Sungai’ yang sangat dikehendaki menerusi kategori perlumbaan perahu bidar. Setiap perahu panjang membawa 30 pendayung dan kategori ini sentiasa menjadi tumpuan utama kerana persaingan sengit untuk merebut gelaran tersebut.
Berikut adalah jenis-jenis perlumbaan perahu yang terdapat dalam Regata Sarawak:
Kategori Lumba Perahu dalam Regata Sarawak
- Perlumbaan Perahu Bidar – Perahu bidar kebiasaannya digunakan oleh masyarakat Melanau untuk pertandingan dan regata perahu yang diadakan di Mukah, Dalat, dan daerah serta bahagian lain di Sarawak. Setiap perahu panjang membawa 30 pendayung, dan kategori ini sentiasa menjadi pertandingan sengit dan menjadi tarikan utama penonton.
- Perlumbaan Perahu Balok – Kategori ini melibatkan 7 pendayung lelaki.
- Perlumbaan Perahu Kenyalang – Kategori ini adalah perlumbaan bagi perahu Kenyalang.
- Perlumbaan Perahu Tambang – Ini adalah kategori baru yang diperkenalkan bagi memelihara warisan perahu-perahu yang membawa penumpang menyeberang Sungai Sarawak.
- Perlumbaan Perahu Naga – Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak diadakan secara berturutan dengan Regata Sarawak yang bersejarah. Perlumbaan Perahu Naga mempunyai 5 kategori, iaitu Terbuka Antarabangsa 20 kru, Terbuka Antarabangsa 12 kru, Campuran Antarabangsa 12 kru, Wanita Antarabangsa 12 kru, dan Master Antarabangsa 12 kru.
Selain itu, Regata Sarawak pada tahun ini juga diadakan sekali dengan Festival Kuching Waterfront yang merangkumi pelbagai aktiviti menarik seperti “Brooke Swim”, tarik tali perahu kecil, tangkap itik dan pelbagai pameran serta pasar kebudayaan di sepanjang Tebingan Sungai Kuching yang menjual kraftangan, barangan dan makanan tradisional. Inilah peluang anda untuk meneroka keindahan Bandaraya Kuching, kepelbagaian budaya, keenakan kulinari dan keramahan penduduknya!
Kesimpulannya, saban tahun sambutan Regatta Sarawak sentiasa meriah dengan pelbagai aktiviti. Bahkan, kita juga boleh menyaksikan musim ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peniaga untuk meningkatkan pendapatan. Begitulah kehebatan sesuatu sukan tanpa kita sedari.