Syurga tersebunyi Sarawak, Bengoh Dam di Padawan.
Seperti Berada Di ‘Jurassic World’, Ini Itinerari 2 Hari 1 Malam Menerokai Syurga Tersembunyi Bengoh Dam. Sebut sahaja Bengoh Dam, pasti anda sudah terbayang Jurassic World di mana anda akan disajikan dengan pemandangan alam semulajadi yang indah tidak terkata.
Kini, Bengoh Dam sudah menjadi port tarikan pelancong terutamanya dikalangan pencinta alam semulajadi di luar sana. Mengambil lebih kurang 1 jam 30 minit perjalanan daripada Bandaraya Kuching Bengoh Dam yang terletak di Padawan ini terkenal dengan adanya port air terjun memukau sehingga diberi gelaran Jurassic World of Sarawak.

Pengalaman 2 hari 1 malam menerokai Banjaran Bengoh
Dibawa oleh pihak Tourism Malaysia ke Bengoh Dam untuk menerokai air terjun memukau serta merasai pengalaman bermalam di Kampung Sting, kami dari I Love Borneo berasa amat teruja kerana ini merupakan kali pertama kami menjejak kaki di tempat yang indah ini. Untuk artikel kali ini, kami ingin berkongsi dengan anda itinerari 2 hari 1 malam menerokai Bengoh Dam dengan menginap di Kampung Sting.
Dikelilingi alam semula jadi yang menakjubkan, Bengoh Dam adalah salah satu destinasi yang amat sesuai buat para penggemar aktiviti trekking di dalam hutan. Tarikan utama di sini adalah Pe’an & Curtain Waterfall dan juga Susung Waterfall (atau lebih dikenali sebagai Jurassic World Sarawak).
Sebelum adanya Banjaran Bengoh atau Bengoh Dam, tahukah anda terdapat beberapa buah kampung yang didiami oleh masyarakat Bidayuh di sini. Antaranya adalah Kampung Semban yang merupakan Kampung penempatan etnik Bidayuh tertua di Sarawak berusia lebih dari 300 tahun dan dikenali sebagai ‘A village above the clouds‘.
Walaubagaimanapun Kampung Semban dan beberapa perkampungan lain iaitu Kampung Rejoi, Taba Sait dan Pain Bejong kini sudah dipindahkan ke tempat yang baharu bagi memberi laluan kepada pembinaan Empangan Bengoh pada tahun 2007.
Oleh demikian, anda tidak akan sempat melihat perkampungan-perkampungan ini di sini kerana kesemua perkampungan tersebut telah ditengelami air akibat pembinaan Empangan Bengoh. Siapa sangka disebalik Bengoh Dam yang luas, indah memukau ini terdapat sebuah kisah yang tiada siapa sangkakan.

Hari Pertama di menerokai Keindahan Bengoh Dam
Sebelum memulakan perjalanan, pastikan anda memakai pakaian sesuai serta membawa bekalan air yang mencukupi untuk trip ini. Kasut yang paling sesuai untuk digunakan di sini adalah kasut getah atau lebih dikenali sebagai ‘adidas kampung‘ atau apa-apa kasut tahan lasak yang digunakan untuk aktiviti trekking.
Untuk ke Air terjun di Bengoh Dam ini, anda perlu menempah bot serta pemandu pelancong yang menjaga kawasan empangan ini terlebih dahulu. Kami memulakan hari pertama perjalanan kami bersama beberapa orang pemandu pelancong lokal yang menetap di Kampung Sting dengan menaiki bot dari jeti Empangan Bengoh dan kemudiannya diturunkan di tapak permulaan banjaran.
Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 1 jam 40 minit menjadikannya port trekking yang sesuai untuk para pemula! Namun jangan terlalu yakin, aktiviti trekking ke air terjun di sini memerlukan stamina kuat kerana ada banyak laluan yang berbukit, oleh itu kami sarankan anda untuk bina stamina terlebih dahulu sebelum memulakan pendakian.
Laluan sepanjang ke Pe’an Waterfall dan juga Curtain Waterfall dan Susung Waterfall ini melalui hutan, kebun penduduk di kawasan berdekatan di sini, anak-anak sungai, dan juga beberapa jambatan buluh.

Tiba di air terjun pertama
Setibanya di persinggahan air terjun pertama, Pe’an & Curtain Waterfall, anda boleh berehat, ambil gambar serta bermandi manda sebentar di sini sebelum anda meneruskan lagi pendakian 30 hingga 45 minit ke Air Terjun Susung.

Trademark Jurassic World Sarawak, ‘Buaian Langsuir’
Bagaikan berada di Jurassic World, Susung Waterfall inilah highlight utama di Banjaran Bengoh ini. Di sini jugalah anda akan melihat trademark Jurassic World Sarawak iaitu ‘Buaian Langsuir’ yang dijadikan port paling wajib untuk ambil gambar jika anda sudah jejak kaki di sini.

Dihidangkan menu makanan tradisional Bidayuh
Setelah puas bermandi manda dan mengambil foto, anda boleh berehat untuk makan sebentar di tempat perhentian berdekatan Pe’an & Curtain Waterfall. Waktu istirehat kami sebelum meneruskan lagi perjalanan seterusnya, kami telah dihidangkan menu makanan tradisional Bidayuh iaitu ayam pansuh, ikan tilapia stim dalam buluh, terung asam. dan juga umbut nanas.
Selesai makan dan berehat, kami meneruskan lagi perjalanan ke Kampung Sting yang merupakan salah satu kampung baharu yang dibina dibahagian atas Banjaran Bengoh. Perjalanan ke Kampung Sting ini mengambil masa hanya 20 minit tetapi anda jangan underestimate tau! Ini kerana perjalanan ini memerlukan anda untuk mendaki bukit curam dan jika hari hujan laluannya akan menjadi becak dan licin. Jadi sentiasa berwaspada untuk mengelak sebarang kecederaan yang tidak diingini.


Menginap di Shym Travers Homestay
Tiba sahaja kami di Kampung Sting, kami menginap di Shym Travers Homestay di mana ia merupakan salah satu inap desa yang dimiliki oleh penduduk lokal di Kampung ini. Kami disambut mesra oleh pemilik Homestay ini dan diberikan dua buah inap desa satu khas untuk para lelaki dan satu lagi khas untuk para wanita.


Lihat sunset di Kampung Sting
Setelah puas mendaki dan menerokai keindahan alam semula jadi di Bengoh Dam ini, kami beristirehat sebentar dan kemudian meneruskan lagi hari kami untuk melihat sunset pula. Memandangkan Kampung Sting ini berada di kawasan yang tinggi, anda boleh melihat pemandangan 180 darjah Empangan Bengoh dan Banjaran Bengoh sambil melihat pemandangan indah matahari terbit dan matahari terbenam.

Makan malam besar setelah penat mendaki
Pada sebelah malam pula, kami disajikan lagi hidangan enak iaitu daging panggang, sambal bunga kantan, ikan goreng, ikan tilapia panggang, ayam panggang, dan juga ayam masak merah. Tidak dapat dibayangkan betapa gembiranya wajah kami apabila dihidangkan menu masakan pemilik rumah inap ini setelah penat seharian melakukan aktviti lasak.
Dah kenyang melantak, takkan nak tidur terus? Jadi kami teruskan lagi aktiviti kami dengan bermain Uno bersama-sama sehingga larut malam. Untuk pengetahuan, di sini tiada liputan telefon atau internet. Buat anda yang ingin melakukan trip ke Banjaran Bengoh ini, anda disarankan untuk memberitahu keberadaan anda terlebih dahulu kepada keluarga agar mereka tidak risau.
Selesai main Uno, kami kemudiannya pulang berehat ke rumah inap masing-masing untuk mengumpul kembali tenaga bagi meneruskan perjalanan pulang pada keesokan harinya.

Perjalanan pada hari kedua
Penginapan kami di Shym Travers Homestay berakhir dengan sarapan pagi. Setelah sarapan, kami meneruskan perjalanan turun dari Kampung Sting menaiki bot untuk terus ke jeti Empangan Bengoh.
Pengalaman bermalam di Kampung Sting disconnected daripada kesibukan bandaraya ini telah mengajar penulis kehidupan serba sederhana tetapi serba lengkap serta memberikan penulis ketenangan minda dan jiwa yang mungkin tidak akan boleh didapati di tempat lain.
Mengapa perlu bermalam jika anda boleh melakukan perjalanan sehari sahaja di Bengoh Dam ini? Jawapannya adalah, jika anda bermalam di sini, anda boleh merasai pengalaman unik tidur di kampung Bidayuh yang berada di kawasan tinggi, dikelilingi alam semulajadi serta anda juga boleh healing tanpa perlu memikirkan kehidupan yang sibuk di Bandar.

Ini caranya untuk anda ke Bengoh Dam
Jika anda ingin menempah bot dan pemandu pelancong atau bermalam di Kampung Sting anda boleh singgah berhubung dengan salah seorang pemandu pelancong di sini di talian 0135678146. Kalau anda ingin ke Bengoh Dam ini, kami cadangkan anda untuk pergi secara berkumpulan agar lebih jimat dan lebih seronok!