Khas untuk Usahawan yang Sukar Mendapatkan Pinjaman untuk Perniagaan
Kenali SJPP, Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan Yang Ramai Usahawan Borneo Tak Tahu. Bayangkan senario seperti ini:
Anda ada idea bisnes yang menarik, mungkin nak kembangkan perniagaan kek lapis anda di Miri. Anda perlukan pinjaman dari bank untuk meneruskan rancangan anda, tetapi permohonan anda ditolak. Mungkin kerana anda tiada aset yang cukup untuk dicagarkan, atau bank menganggap bisnes anda terlalu berisiko. Masalah ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tapi di seluruh dunia. Bank tidak berani untuk mengambil risiko terlalu besar, dan usahawan pula tidak selalunya mampu memenuhi semua kriteria ketat pihak bank.
Tetapi, tahukah anda bahawa terdapat satu alternatif di Malaysia yang boleh meyakinkan pihak bank untuk memberikan anda pinjaman untuk perniagaan anda? Jika anda seorang usahawan, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) adalah nama yang patut anda kenali.

Secara ringkas, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad Berhad (SJPP) adalah sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan untuk melaksanakan Skim Jaminan Kerajaan (Government Guarantee Schemes) dengan seliaan Bank Negara Malaysia (BNM). Ia berfungsi sebagai ‘orang tengah’ atau ‘jambatan’ yang menghubungkan usahawan seperti anda dengan bank.
Bagaimana SJPP Berfungsi?
Fungsi utama SJPP adalah untuk menyediakan jaminan kepada pihak bank. Apabila anda memohon pinjaman perniagaan, bank akan menilai permohonan anda seperti biasa. Namun begitu, bank lazimnya kurang yakin untuk memberikan pinjaman kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS) kerana wujud risiko pinjaman tersebut berkemungkinan tidak dapat dibayar balik. Di sinilah SJPP memberi jaminan kepada pihak bank, meringankan sebahagian daripada risiko tersebut. Dengan jaminan ini, bank akan berasa lebih selamat dan lebih yakin untuk meluluskan permohonan pinjaman anda.
Anda tidak perlu memohon jaminan ini, sebaliknya hanya perlu membuat permohonan pinjaman seperti biasa kepada institusi kewangan yang terlibat. Jika perniagaan anda dianggap berisiko tinggi, pihak bank akan menghantar permohonan anda kepada SJPP untuk dinilai dan jika layak diberikan jaminan, yuran jaminan adalah rendah iaitu tidak melebihi 1%.
Pendek kata, SJPP memberi jaminan kepada pihak bank bagi pihak kerajaan. Ia membuatkan bank melihat anda sebagai peminjam yang kurang berisiko. Dengan cara ini, usahawan seperti anda yang mungkin berisiko tinggi tetapi mempunyai potensi besar, contohnya seperti syarikat teknologi baharu di Sibu, atau pengusaha perikanan moden di Semporna, boleh mendapatkan akses kepada pembiayaan dengan lebih mudah.

Mengapa Skim Jaminan Seperti Ini Wujud?
Di kebanyakan negara maju, skim jaminan sebegini adalah instrumen penting untuk merancakkan ekosistem perniagaan, terutamanya untuk PKS. Model SJPP di Malaysia adalah unik, kerana ia berfungsi bersama-sama institusi kewangan, dan bukan sebagai pesaing mereka. Tanpa skim jaminan kerajaan, ramai usahawan berpotensi tinggi mungkin tidak meneruskan usaha mereka untuk ke peringkat yang lebih tinggi.
Di Malaysia, SJPP bukan sekadar pemangkin perniagaan biasa-biasa, tetapi juga berperanan sebagai perangsang ekonomi. Cuba bayangkan, usahawan kraftangan di pedalaman Sarawak yang ingin memperluas pasaran ke seluruh Malaysia. Mereka mungkin tiada aset besar untuk dicagarkan. Di sinilah SJPP memainkan peranan dengan memberikan jaminan Kerajaan kepada pihak bank supaya bank lebih yakin untuk meluluskan pinjaman. Usahawan ini pula boleh memperkenalkan produknya lebih jauh dari sempadan Sarawak, bahkan mungkin dapat memasarkannya ke pasaran antarabangsa.

SJPP Lebih Daripada Sekadar ‘Penjamin’
Skim SJPP lebih daripada sekadar ‘penjamin’ bagi pihak Kerajaan untuk syarikat kecil. Ia membentuk sebuah infrastruktur kewangan ‘belakang tabir’ yang menyokong pertumbuhan negara secara keseluruhan, memastikan kewangan dapat disalurkan ke pelbagai sektor yang akhirnya kelak membawa pulangan yang besar seperti industri eksport.
Lebih penting, SJPP mempromosikan kewangan yang inklusif untuk perniagaan yang sering terpinggir, seperti syarikat-syarikat luar bandar, usahawan Bumiputera, dan perniagaan yang diterajui oleh wanita. Skim ini juga boleh dianggap sebagai talian hayat aliran tunai bagi syarikat dan perniagaan di dalam pelbagai sektor dan industri.
Dengan memberi peluang kepada semua, ia membantu Malaysia beralih ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang lebih seimbang dan menyeluruh.

Skim SJPP merupakan salah satu pemudahcara untuk pembiayaan perniagaan anda. Meskipun kerajaan menyediakan skim-skim ini melalui SJPP, syarikat dan perniagaan perlu mengambil inisiatif untuk memperbaharui strategi perniagaan, mempertingkatkan penggunaan teknologi dan proses automasi serta mengalih proses kerja ke arah digital. Penambahbaikan ini mungkin melibatkan kos, namun begitu sumber aliran tunai yang diperlukan boleh didapati dari inisiatif skim-skim pembiayaan perniagaan kerajaan.
Selain PKS dan usahawan persendirian, pinjaman jaminan kerajaan ini juga boleh dipohon oleh syarikat dan perniagaan yang ingin membuat pinjaman untuk memulakan perniagaan, pembekal perkhidmatan, syarikat-syarikat pembuatan mahupun pemilik francais. Skim-skim jaminan kerajaan yang diuruskan oleh SJPP terbuka kepada semua syarikat dan perniagaan di Malaysia, dan tertakluk kepada syarat-syarat dan terma-terma kelayakan.
Jadi, jika anda seorang usahawan yang sedang mencari jalan untuk mengembangkan perniagaan anda, jangan biarkan ketidakcukupan cagaran perniagaan anda mematahkan semangat anda. Ketahui lebih lanjut tentang skim yang ditawarkan oleh SJPP melalui laman sesawang sjpp.com.my dan lihat sama ada perniagaan anda layak. Ini mungkin ‘jambatan’ yang anda perlukan untuk mencapai potensi bisnes anda yang sebenar.


