Kenyataan Media Rasmi Dari Kementerian Pendidikan Malaysia
SPM Akan Diadakan Pada 6 Jan – 9 Feb 2021, Peperiksaan Awam Lain Ditangguhkan. Berikutan pengumuman penangguhan peperiksaan awam kerana wabak Covid-19, persoalan mengenai bila SPM, STPM dan STAM akan diadakan akhirnya dijawab. Terkini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan kenyataan rasmi melalui laman Twitter rasmi mereka dimana tarikh-tarikh peperiksaan awam yang dinanti-nantikan oleh pelajar diumumkan.

Membuat Penjadualan Semula Kali Kedua
Menurut kenyataan tersebut, KPM telah membuat penjadualan semula kali kedua takwim peperiksaan bagi tahun 2020 berdasarkan Pindaan Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020. Malah, peperiksaan ditunda bagi memberi tempoh pembelajaran yang mencukupi dan dapat membuat persediaan rapi untuk pelajar menduduki peperiksaan.
“Oleh kerana peperiksaan SPM tahun 2020 dijadualkan bermula pada minggu pertama tahun 2021, KPM telah mengambil kira keperluan untuk mengatur semula pelbagai aspek logistik bagi tujuan peperiksaan tersebut,” dipetik dari kenyataan rasmi KPM.
Tarikh Baharu Untuk Peperiksaan Awam
SPM yang sepatutnya diadakan pada 16 November sehingga 7 Disember 2020 kini akan diadakan pada 6 Januari sehingga 9 Februari 2021.
Manakala, STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia – Kohort 2020) akan diadakan pada tarikh 1 – 9 Mac 2021.
Untuk STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia), tarikh baharu adalah pada 17 – 25 Februari 2021.
Bagi SVM (Sijil Vokasional Malaysia), berikut adalah tarikh yang diumumkan mengikut sesi:
Sesi Pertama:
| Semester 3 | 3 – 14 Ogos 2020 |
| Semester 1 | 28 September – 9 Oktober 2020 |
Sesi Kedua
| Semester 4 | 18 – 29 Januari 2021 |
| Semester 2 | 17 – 28 Mei 2021 |
Anda boleh merujuk senarai lengkap tarikh peperiksaan di SINI.
