YAM Tengku Muda Puji Persembahan Elica Di Konsert Govinda
Suara Emas Anak Sabah, Elica Dapat Pujian YAM Tengku Muda Pahang Di Konsert Govinda. Nyanyian penuh perasaan yang dibawakan oleh penyanyi dari Sabah, Elica Paujin di Konsert Govinda Hal Hebat pada hari Khamis telah mendapat sambutan hangat daripada penonton.
Persembahan anak kelahiran Sabah, atau nama penuhnya Angelica Paujin yang berusia 24 tahun, turut mendapat pujian daripada keluarga Diraja Pahang, iaitu Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang, Tengku Abd Rahman Al-Haj ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah.

Menerusi perkongsian di laman TikTok, YAM Tengku Muda memuji bahawa nyanyian Elica yang membawakan lagu Mendua oleh Astrid pada malam konsert tersebut amat menakjubkan dan penuh penghayatan.
Video yang dimuatnaik itu telah menerima pelbagai maklum balas positif daripada netizen yang turut memuji bakat anak kelahiran Borneo ini. Dengan kebolehan istimewa yang ada padanya, mereka berharap Elica akan dapat meluaskan lagi pengaruhnya dalam industri hiburan tempatan.
Dalam pada itu, antara harapan yang disuarakan oleh peminat termasuklah keinginan untuk melihat Elica menjadi lebih terkenal di Semenanjung Malaysia, serta impian untuk menyaksikan beliau beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu dan memenangi anugerah dalam kategori vokal.

