Batu Kawah Menjadi Tumpuan Baharu Pelancongan dan Pembangunan
Tasik Kuari Lama Bakal Menjadi Destinasi Pelancongan Di Kuching. Sarawak berhasrat untuk membangunkan kawasan Batu Kawa yang terletak 10 kilometer dari Kuching secara pesat, dengan mengambil inspirasi daripada kejayaan projek Bandar Sunway di Lembah Klang.
Menurut laporan Bernama, Premier Sarawak, Abang Johari Openg memaklumkan bahawa kerajaan negeri kini giat menyelesaikan isu-isu berkaitan trafik, bekalan air dan elektrik di kawasan tersebut bagi memastikan pembangunan menyeluruh di Batu Kawa menjelang 2030.

Batu Kawah Kini Dalam Perancangan Bakal Ada Tarikan Baharu
Abang Johari menjelaskan bahawa kawasan Bandar Sunway yang dahulunya merupakan kuari batu, kini telah dibangunkan menjadi kawasan bandar yang rancak dan terletak tidak jauh dari Kuala Lumpur.
“Kita akan membina jalan dari Batu Kawa terus ke Jalan Matang dan kita juga sedang membina jambatan baharu (di Batu Kawa) untuk merentasi Sungai Sarawak.
“Kita mempunyai infrastruktur yang telah kita bangunkan untuk manfaat rakyat,” katanya dalam ucapan sempena majlis perasmian Dewan Serbaguna Ang Cheng Ho di Kuching hari ini.
Pembinaan dewan tersebut telah dilaksanakan di bawah fasa pertama inisiatif projek pemulihan kuari Ang Cheng Ho Batu Kawa yang melibatkan kawasan seluas 8.1 hektar.
Abang Johari menambah bahawa kerja-kerja pembersihan tanah untuk projek jalan di kawasan tersebut turut akan membuka peluang untuk pembangunan perumahan mampu milik, terutamanya untuk golongan B40 di negeri itu.
Timbalan Premier Sarawak, Dr Sim Kui Hian pula memaklumkan bahawa peruntukan tambahan sebanyak RM7 juta diperlukan bagi fasa kedua projek pemulihan kuari tersebut.
Sim, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kawa, berkata sebuah taman rekreasi seluas 24.2 hektar sedang dirancang di kawasan tersebut di bawah fasa kedua projek berkenaan.

