Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching Beri Cadangan Kepada Mana-Mana Penerbangan Malaysia Untuk Buat Laluan Kuching-Pontianak
Indonesia Tawar Syarikat Penerbangan Malaysia Lancarkan Laluan Kuching-Pontianak dan Balikpapan. Laluan penerbangan terus antara Kuching-Pontianak dan Kuching-Balikpapan di Indonesia kini terbuka kepada mana-mana syarikat penerbangan Malaysia yang berminat. Menurut Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kuching, Raden Sigit Witjaksono, perkara ini dimaklumkan beliau ketika dihubungi media tempatan hari ini.
“Kami tidak menetapkan syarikat penerbangan tertentu. Namun sebelum ini, kerajaan Republik Indonesia (RI) telah mengehadkan kemasukan penerbangan antarabangsa akibat pandemik COVID-19, yang menyebabkan laluan penerbangan terus antara Kuching dan Pontianak dihentikan sementara. Kami berharap laluan ini dapat dibuka semula bersama satu lagi laluan langsung antara Kuching dan Balikpapan yang mempunyai potensi tersendiri,” jelas beliau.

Peluang Baharu untuk Penerbangan Malaysia Ke Kalimantan
Raden Sigit menyatakan harapan agar kepimpinan baru RI di Jakarta memberikan kelulusan kepada mana-mana syarikat penerbangan untuk menjalankan operasi laluan ini. Beliau juga mencadangkan pembukaan laluan terus dari bandar-bandar lain di Sarawak seperti Sibu, Bintulu, dan Miri ke Kalimantan Barat, Indonesia.
Beliau mengakui bahawa penyambungan laluan penerbangan antara Kalimantan Barat dan Sarawak masih kurang, meskipun kedua-dua wilayah berada di Pulau Borneo yang sama. “Ketika kita bergerak dari Kuching ke Kalimantan Barat atau Balikpapan, kita memerlukan akses pengangkutan yang lebih baik, namun ia masih belum mencukupi,” katanya.
Walaupun terdapat laluan penerbangan tidak langsung seperti Kuching-Kuala Lumpur-Jakarta atau Kuching-Kuala Lumpur-Balikpapan, penerbangan terus akan lebih memudahkan dan menjimatkan masa.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat KJRI Kuching berhubung lawatan ke Ibu Kota Nusantara (IKN) dan Balikpapan dari 8 hingga 10 November lalu.
Raden turut menekankan bahawa usaha ini akan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan dan menyokong peningkatan hubungan ekonomi melalui ketersambungan laluan udara. Pada lawatan sebelum ini, delegasi seramai 200 orang dari Sarawak, Singapura, China, dan Kuala Lumpur telah ke IKN dan Balikpapan menggunakan penerbangan sewaan khas dan komersial.
Pada awal September 2024, KJRI Kuching juga pernah bertemu dengan Menteri Pengangkutan Sarawak (MOTS), Dato Sri Lee Kim Shin, untuk membincangkan isu yang sama. Satu lagi pertemuan dijadualkan pada akhir tahun ini untuk berkongsi dapatan terkini hasil lawatan delegasi lepas.
Pihak KJRI berharap mendapat respons positif daripada kerajaan negeri dan merancang satu lagi lawatan delegasi pada Februari hingga Mac 2025, yang akan melibatkan usahawan serta wakil kerajaan negeri dan persekutuan.
