Tiada PKP di seluruh Sarawak, hanya PKPB sahaja.
TERKINI: Tiada PKP Di Sarawak Hanya PKPB Seperti Yang Dirancang Sebelum Ini. Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), hari ini Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 13 April – 24 April 2021 di seluruh Sarawak seperti yang telah diumumkan beberapa hari yang lepas.
Daerah Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Meradong KEKAL di bawah PKPB
Setelah mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara, maka telah dipersetujui bahawa daerah Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Meradong KEKAL di bawah PKPB. Pada masa yang sama, JPBNS juga akan meneruskan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang berisiko tinggi.
Selain itu, hari ini Sarawak telah mencatat 512 kes positif Covid-19 iaitu tertinggi di Malaysia. 2 kes kematian baharu melibatkan jangkitan COVID-19. Ini menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 telah meningkat kepada seramai 135 orang.
Daerah-daerah yang melaporkan kes adalah Bintulu (120), Sibu (99), Subis (80), Kuching (56), Miri (31), Kapit (30), Meradong (29), Serian (22), Kanowit (10), Samarahan (9), Sarikei (7), Bukit Mabong (6), Limbang (3), Kabong (2), Asajaya (1), Bau (1), Belaga (1), Beluru (1), Julau (1), Saratok (1), Song (1) dan Sri Aman (1).
Kluster Jalan Sultan Iskandar, Bintulu
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak juga telah mengisytiharkan satu Kluster baharu di Sarawak pada hari ini iaitu Kluster Jalan Sultan Iskandar, Bintulu.
Oleh itu, jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak 49 kluster. Sebanyak sembilan (9) kluster telah merekodkan 123 penambahan kes baharu manakala 40 kluster tidak merekodkan penambahan kes.
