MAHB sahkan kehadiran memerang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA)
Tular Sekumpulan Memerang Melintas Landasan KKIA Undang Kerisauan Netizen. Baru-baru ini, satu hantaran tular di media sosial yang menunjukkan sekumpulan memerang melintas di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di Sabah.
Kemunculan haiwan tersebut di kawasan lapangan terbang telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan netizen kerana bimbang akan keselamatan.

Pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah mengesahkan bahawa video tersebut memang dirakam di KKIA. Video yang berdurasi 33 saat itu telah dimuat naik di YouTube oleh pengguna bernama OswaldOriginal dengan tajuk “Big Land Otters Running Wild at Kota Kinabalu Airport 20 Oct 2024”.
Dalam rakaman tersebut, beberapa ekor memerang kelihatan melintas di kawasan landasan menuju ke kawasan hijau. Salah seekor memerang berhenti seketika dan berdiri untuk memeriksa ancaman sebelum kumpulan itu meneruskan perjalanan mereka.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (SWD) Sabah, Roland Niun memaklumkan bahawa pasukan beliau telah meneliti video tersebut dan ia kelihatan dirakam di kawasan bandar. Beliau menjelaskan bahawa pihaknya belum menerima sebarang aduan daripada KKIA atau MAHB. Difahamkan, lapangan terbang amat peka terhadap kehadiran haiwan di landasan, termasuk burung.
Untuk makluman, memerang merupakan haiwan yang dilindungi di bawah Jadual 2 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997. Sebelum ini, terdapat kejadian di mana seorang wanita telah diserang memerang semasa berjoging di Taman Perdana, Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

