Demikian menurut Pengerusi JPBNS semasa sidang media khas bersama Ketua Menteri siang tadi.
Uggah : Pemansuhan Kuarantin 14 Hari Ke Sarawak Akan Dipertimbangkan. Pengerusi Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu pemberita siang tadi bahawa pihak kerajaan Sarawak akan mengkaji semula SOP kemasukan ke Sarawak sebaik sahaja negeri ini melangkah ke fasa endemik.
SOP kemasukan ke Sarawak yang bakal dipertimbangkan termasuklah pemansuhan kuarantin 14 hari ke Sarawak. Namun, beliau tidak dapat memastikan bilakah prosedur tersebut bakal dimansuhkan kerana ia tertakluk dengan situasi semasa.
Pembubaran SOP tertakluk kepada peralihan ke fasa endemik
Jelas Uggah, Sarawak buat masa ini masih dalam fasa peralihan dari pandemik ke endemik. Oleh yang demikian, prosedur SOP sedia ada masih diguna pakai untuk apa-apa urusan kemasukan ke negeri ini. Namun, sekiranya Sarawak telah berjaya beralih ke fasa endemik sepenuhnya, JPBNS berkemungkinan akan membubarkan prosedur SOP ketat ini termasuklah kuarantin 14 hari ke Sarawak.
Dalam masa yang sama, Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Openg turut menegaskan bahawa pihak kerajaan sentiasa memantau rapat keadaan COVID-19 di negeri Sarawak sebelum sebarang pengumuman berkaitan pemansuhan SOP dibuat.
Tambahnya lagi, kebanyakan kes jangkitan di Sarawak kini adalah dalam kalangan pesakit peringkat 1 dan 2. Sekiranya keadaan di Sarawak meyakinkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi lampu hijau melonggarkan SOP, JPBNS tidak akan keberatan membubarkan beberapa SOP termasuk kuarantin ke Sarawak.
Kedua-dua pemimpin tertinggi Sarawak ini menjawab persoalan media berkenaan kemungkinan pemansuhan kuarantin 14 hari ke Sarawak semasa sidang media khas sempena lawatan ketua menteri Sarawak ke Sri Aman, siang tadi.
*Petikan rakaman sidang media YAB Ketua Menteri Sarawak ke Sri Aman berkenaan pemansuhan kuarantin 14 hari ke Sarawak. Sumber : FB UKAS
Semoga ada sinar harapan menanti tidak lama lagi. Sementara itu, jaga diri dan patuhi SOP.
