Jasa perwira negara yang harus kita kenang
Ketahui Peristiwa Disebalik 31 Julai, Hari Pahlawan Kenang Jasa Pejuang Perwira Negara. Sempena tamatnya darurat menentang komunis pada tahun 1960, negara telah menandakan tarikh keramat tanggal 31 Julai sebagai Hari Pahlawan.
Simbolik sambutan Hari Pahlawan ini bertujuan untuk memperingati dan menzahirkan penghargaan kepada perwira yang terkorban mempertahankan tanah air dari anasir luar untuk mencapai keamanan negara.
Namun, Hari Pahlawan kali ini disambut kembali tahun ini selepas dua tahun tidak diadakan berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Sambutan Hari Pahlawan Negara 2022
Upacara julung kali itu telah diadakan di Dataran Pahlawan Negara dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permasuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sambutan itu dimeriahkan dengan perbarisan melibatkan 58 pegawai dan 867 anggota lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia serta 152 veteran daripada Persatuan Veteren ATM, Kontinjen Pesara Polis dan Bekas Polis Malaysia.

Kemudian istiadat dipersembahkan dengan tiupan Paluan Akhir dikenali sebagai ‘last post‘ dengan menurunkan Jalur Gemilang.
Bukan itu sahaja, persembahan pantomim pengorbanan pejuang negara mengisahkan peristiwa pertempuran yang berlaku di Bakara Market, Mogadishu, Somalia pada 3 dan 4 Oktober 1993.
Peristiwa Misi pengaman PBB di Mogadishu
Mengisahkan tentang peristiwa bersejarah yang boleh dikaitkan dengan Hari Pahlawan, misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Mogadishu membabitkan pasukan Batalion Ke-19.

Ketika itu, pasukan tentera Malaysia dan 19 RAMD Mekanise dikerah ke kawasan pertempuran untuk menyelamatkan anggota elit US Rangers dan kru helikopter Black Hawk Dawn yang terperangkap.
Dalam usaha itu, Koperal Mat Aznan Awang memandu kereta perisai Condo lalu diserang hendap gerila pemberontak menggunakan roket RPG menembusi cermin hadapan kenderaan perisai.
Malangnya, anggota yang mengemudi kenderaan tersebut meninggal akibat letupan roket RPG itu.
Atas keberaniannya, Allahyarham Koperal Mat Aznan dikurniakan Darjah Keberanian Tertinggi Persekutuan, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP).

Ramai berkorban di medan perang demi mempertahankan kedaulatan negara
Sememangnya ramai perwira negara yang telah gugur di medan perang mempertahankan kedaulatan negara ini, bahkan ada juga yang mati di tanah asing kepunyaan orang untuk mendapatkan kemerdekaan.

Oleh itu, tarikh keramat ini adalah antara usaha untuk menunjukkan keprihatinan dalam mengenang jasa perwira tanah air yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi ini.
Kami ingin mengucapkan Selamat Hari Pahlawan sebagai penghargaan kepada mereka yang telah berkorban demi negara kita. Tanpa mereka, kita tidak akan berada di sini.