Minuman Tradisi Yang Sering Dihidang Semasa Perayaan Gawai
5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Tuak, Minuman Tradisi Masyarakat Dayak. Sekiranya anda seorang warga Borneo, anda pasti tahu tentang minuman beralkohol tradisi yang popular, salah satunya adalah tuak. Selalu dihidang semasa perayaan Gawai, ia merupakan minuman tradisi masyarakat Dayak – Iban dan Bidayuh. Tetapi tahukah anda selain masyarakat Dayak, terdapat juga masyarakat lain yang membuat air ini?
Berikut adalah 5 fakta yang anda perlu tahu tentang tuak serta keunikan tuak dalam kalangan masyarakat lain.
Dua Jenis Tuak Di Malaysia
Tuak merupakan salah satu minuman tradisi yang popular di kalangan masyarakat asli di kawasan Nusantara, dari Pantai Timur Malaysia sehingga ke Indonesia. Dihasilkan dari pemeraman bahan tertentu, jenis bahan bergantung kepada suku kaum yang menghasilkannya.
Di Malaysia, terdapat dua jenis tuak yang diketahui, iaitu tuak beras dan tuak kelapa/nipah.
Tuak beras secara lazimnya diminum oleh masyarakat Dayak di Sarawak dan Kalimantan sejak masa dahulu. Secara amnya, tuak ini diperbuat daripada sejenis beras khas iaitu beras pulut.
Beras ini akan direndam air dalam sebuah tempayan, dikenali sebagai proses tajau. Proses ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum ia boleh diminum, iaitu setelah beras tersebut menjadi sejenis makanan iaitu nasi tapai. Tetapi biasanya, ia dibiarkan untuk jangka masa yang lama kerana ia lebih sedap jika dibiarkan lama.
Kini, proses pembuatan tuak mempunyai sedikit pengubahsuaian iaitu ramuan akan dicampur gula pasir bagi memberi perisa manis kepada tuak terbabit.
Tuak ini secara biasanya dihidang pada perayaan tertentu seperti Gawai Dayak, Gawai Hantu, Gawai Burung dan sebagainya. Ia dihidang sebagai salah satu pemberian kepada ‘Petara’ untuk menerima keberkatan untuk pesta menuai.
Anda boleh baca mengenai penggunaan tuak dalam upacara miring yang dilakukan oleh masyarakat Iban di sini:
Bagi tuak kelapa/nipah atau juga dikenali sebagai tuak nira, ia merupakan sejenis minuman kaum asli. Tuak ini terdapat dalam kalangan masyarakat Kelantan dan Terengganu, di mana perkataan ‘tuak’ merujuk kepada nira iaitu minuman yang dihasilkan dari mayang kelapa yang kandungan gulanya belum bertukar kepada alkohol.
Untuk membuat tuak ini, ia dihasilkan dari menyadap mayang pohon kelapa, atau nipah. Sekiranya mayang ini dibiarkan untuk berbuah, ia akan dipotong dan air manis yang menitik dari tandan dipotong akan dikumpulkan dalam sebuah bekas buluh. Air ini dipanggil air nira yang boleh diminum tanpa kandungan alkohol. Air ini kemudian diperam sehingga kandungan gula di dalamnya bertukar menjadi alkohol melalui proses penapaian selama beberapa hari dan akan diminum setelah beberapa hari.
Seperti tuak beras yang dihidangkan untuk perayaan Gawai, tuak ini juga dihidangkan untuk perayaan tertentu seperti majlis perkahwinan dan sebagainya. Sekiranya tuak ini dibiarkan terlalu lama, airnya akan menjadi masam dan akan bertukar menjadi cuka secara semulajadi tanpa mencampurkan bahan asing ke dalamnya.
Masyarakat Orang Ulu Mempunyai Variasinya Tersendiri
Kebanyakan orang sentiasa menyekutukan tuak kepada masyarakat Iban dan Bidayuh. Namun, masyarakat Orang Ulu juga mempunyai variasi tuak mereka sendiri. Kebanyakkan etnik dalam masyarakat Orang Ulu seperti Kayan, Kenyah, Lun Bawang, Kelabit dan sebagainya mempunyai variasi mereka sendiri. Tetapi perisanya lebih kurang sama dengan tuak Dayak (well, it is rice wine after all!)
Dalam masyarakat Orang Ulu, tuak beras digelar sebagai ‘buraq/burak’ dan juga diperbuat daripada beras. Proses pembuatannya lebih kurang sama seperti proses pembuatan tuak masyarakat Iban dan Bidayuh.
Kebanyakkan generasi lama telah berhenti membuat burak setelah memeluk agama Kristian. Penganutan agama telah melarang mereka membuat minuman beralkohol atas sebab kepercayaan agama. Walaupun begitu, generasi muda telah mula membuat burak lagi sebagai cara untuk mengekalkan budaya mereka.
Pembezaan Tuak Dalam Masyarakat Iban
Bagi mereka yang tidak memahami kenapa segelintir tuak diberi gelaran ‘tuak indu’ dan ‘tuak laki’, ini adalah penjelasan ringkas mengapa tuak tersebut digelar demikian.
Dalam kebudayaan masyarakat Iban, tuak yang manis lebih digemari oleh kaum perempuan berbanding dengan kaum lelaki. Tuak manis ini kebiasaannya manis dan kurang alkohol. Untuk kaum lelaki, mereka lebih menyukai tuak yang pahit atau kurang manis, dan mempunyai isi kandungan alkohol yang lebih tinggi berbanding dengan tuak disukai oleh kaum wanita.
Oleh itu, tuak yang manis digelar ‘tuak indu’ dan tuak yang lebih ‘berbisa’ digelar ‘tuak laki’.
Penggunaan Ragi Untuk Penambah Perisa
Selain gula, sejenis ragi diletak dalam ramuan untuk menambah perisa. Ragi merupakan kek berasaskan tepung beras yang dijadikan bebola atau diratakan untuk membentuk cakera dan kemudian dibiarkan kering di bawah sinar matahari, di mana enzim dan ragi dari alam sekeliling terkumpul.
Ragi berbentuk bola – dikenali sebagai ragi pahit – mengandungi bahan lain seperti jus lengkuas dan halia, dan menghasilkan tuak yang lebih kering dan lebih pahit. Manakala, ragi berbentuk cakera, digelar ragi manis, menghasilkan tuak yang lebih manis.
Sabah Juga Mempunyai Versi Mereka Sendiri – Lihing
Diperbuat dari beras pulut, minuman ini merupakan minuman beralkohol tradisi suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Juga digelar sebagai ‘hiing’ (dalam dialek-dialek Dusun tertentu), kinarung, kinomol, kinopi, lihas, sagantang dan tapai, setiap minuman ini berbeza dari yang lain, tetapi semuanya dibuat dari minuman berasaskan beras.
Air ini akan diperam dengan ragi semula jadi, yang digelar sebagai sasad, dan akan dibiarkan sekurang-kurangnya tiga bulan. Kebiasaannya, air ini akan dihidang dalam bamboo tetapi ia juga boleh diminum dari cawan plastik.
Seperti tuak dihidangkan semasa perayaan Gawai, lihing dihidangkan sempena sambutan perayaan Kaamatan, yang juga merupakan festival menuai yang disambut oleh masyarakat Sabah.
Adakah anda seorang peminat tuak? Cadangkan tuak jenis apa yang anda suka di ruang komen! Jangan lupa kongsikan artikel ini!