Harga tambang penerbangan AirBorneo berpatutan
AirBorneo Fokus Harga Tiket Mampu Milik Dan Berpatutan Buat Rakyat. Dilaporkan, Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo komited ingin memberikan rakyat harga tiket murah supaya lebih ramai boleh menikmati penerbangan tanpa beban kewangan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, menegaskan bahawa harga tiket mampu milik adalah keutamaan bagi AirBorneo.
“Memang kita fokus kepada harga tiket, tiket jangan mahal gilak,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung PBB Ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.

Dari Sarawak ke KL, Singapura dan Jakarta
Untuk fasa permulaan, AirBorneo akan menawarkan penerbangan ke Kuala Lumpur, Singapura, dan Jakarta selepas mendapatkan pesawat jet pertama mereka. Tapi jangan risau, ini baru permulaan!
Premier Sarawak juga mendedahkan bahawa Hong Kong akan jadi destinasi seterusnya, diikuti dengan Jepun.
“Sebelum ini, Duta Jepun tanya kenapa kita tak ada penerbangan ke Jepun. Saya kata, bila-bila masa, asalkan orang Jepun pun datang ke Sarawak,” seloroh beliau.

Bukan tambang murah tapi impak besar buat Sarawak
Langkah ini bukan sahaja memudahkan rakyat Sarawak untuk terbang dengan harga jimat, tapi juga merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi negeri. Dengan lebih banyak penerbangan langsung, makin ramai pelancong boleh datang meneroka keindahan Bumi Kenyalang ini.
Buat masa ni, AirBorneo masih dalam fasa perancangan, tapi kalau semua berjalan lancar, ia bakal jadi game-changer dalam industri penerbangan tempatan! Jadi, siapa teruja nak tengok AirBorneo take off?

