Jaguh angkat berat para itu kelak akan bergandingan bersama seorang lagi atlet iaitu Siti Nooriasah
Atlet Paralimpik Sarawak, Bonnie Bunyau Dipilih Sebagai Pembawa Jalur Gemilang Di Temasya Paralimpik Tokyo. Setelah Sukan Olimpik Tokyo 2020 melabuhkan tirainya awal bulan Ogos ini tadi, kini giliran pasukan Paralimpik Malaysia pula yang akan menggalas cabaran negara ke temasya sukan paling berprestij di dunia itu.
Sempena upacara pembukaan kelak, atlet angkat berat para yang berasal dari Sarawak, Bonnie Bunyau telah diberi amanah oleh Majlis Paralimpik Malaysia untuk menjadi pembawa bendera Malaysia, Jalur Gemilang di upacara pembukaan kelak.
Bonnie dan Siti Nooriasah lambang kesepaduan Malaysia di Paralimpik Tokyo 2020
Menurut Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, penghormatan ini diberikan kepada Bonnie dan Siti Nooriasah berdasarkan kepada kepelbagaian kaum di Malaysia serta pencapaian memberangsangkan kedua-dua atlet tersebut sebelum ini. Ini juga bagi menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia bukan sahaja mempunyai kepelbagaian kaum tetapi juga mampu hidup bersatu padu dan harmoni.
Untuk pengetahuan anda, Bonnie Bunyau anak Gustin merupakan seorang atlet angkat berat para berbangsa Bidayuh manakala Siti Nooriasah merupakan atlet bagi acara larian 400 meter. Pemilihan Bonnie adalah berdasarkan reputasi terkininya yang merupakan juara dunia dan pemegang rekod dunia kategori 72 kilogram (kg) ke atas. Bonnie juga menunjukkan beliau berada di landasan yang tepat untuk meraih pingat emas dalam debut pertamanya untuk Sukan Paralimpik kali ini.
Selain itu, Bonnie berpotensi untuk mencipta kemasyhuran kali ini kerana beliau setakat ini telah berjaya memecahkan rekod dunia pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun lepas dengan angkatan seberat 230 kg. Ia sekaligus mengenepikan rekod yang dipegang oleh atlet Iran, Roohallah Rostami dengan bebanan 229 kg di Sukan Para Asia Jakarta, Indonesia pada 2018.
Untuk Siti Nooriasah pula, beliau merupakan atlet paralimpik yang bakal memberi kejutan untuk edisi kali ini berdasarkan pencapaiannya di tempat keempat acara larian 400 meter T20 (masalah pembelajaran) pada Paralimpik Rio 2016.
Kontinjen Paralimpik Malaysia dibarisi juara dunia
Selain Bonnie dan Siti Nooriasah, tiga lagi atlet iaitu pemenang emas Rio 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli (atlet lontar peluru); juara dunia 2019, S. Suresh (atlet acara memanah) dan pemenang emas Sukan Para ASEAN 2017, Abu Samah Borhan (acara tenis kerusi roda) akan turut menyertai perarakan atlet di upacara pembukaan itu. Kontinjen Malaysia ini juga akan diiringi oleh 2 orang pegawai perubatan dan 2 orang petugas sekretariat.
Jelas Megat D Shahriman lagi, persiapan atlet paralimpik Malaysia kali ini berjalan dengan lancar. Mereka juga diingatkan supaya menjaga kesihatan masing-masing, mempersiapkan mental dan fizikal di tahap yang terbaik menjelang temasya dan sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan berlangsung di lokasi yang sama seperti Olimpik Tokyo 2020. Kontinjen Malaysia pada edisi ini akan menghantar seramai 22 orang atlet yang akan berjuang dalam 9 acara sukan.