Bahasa Iban antara 110 bahasa baharu di Google Translate
Semua Boleh Jaku Iban, Bahasa Iban Kini Tersedia Dalam Google Translate. Google secara rasmi mengumumkan bahawa bahasa Iban, bersama dengan bahasa Kantonis, NKo, dan Tamazight, telah ditambah ke dalam perkhidmatan Google Translate.
Pengumuman ini dibuat di blog rasmi Google, The Keyword, dan menyatakan bahawa penambahan bahasa-bahasa ini adalah sebahagian daripada 110 bahasa baru yang ditambah menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Memecahkan halangan bahasa untuk 614 juta penutur
Menurut jurutera perisian kanan Google Translate, Isaac Caswell, ini adalah perkembangan terbesar alat tersebut yang pernah dilakukan, dan ia dimungkinkan melalui model bahasa besar PaLM 2.
“Daripada Kantonis ke Q’eqchi’, bahasa-bahasa baru ini mewakili lebih daripada 614 juta penutur — membuka terjemahan untuk sekitar 8 peratus daripada populasi dunia. Ada yang merupakan bahasa utama dunia dengan lebih 100 juta penutur, manakala yang lain dituturkan oleh komuniti kecil penduduk asli dan beberapa bahasa hampir tiada penutur asli tetapi mempunyai usaha pemulihan aktif,” kata beliau.
Caswell menjelaskan bahawa PaLM 2 adalah kunci kepada kejayaan ini, membantu Google Translate mempelajari bahasa yang berkait rapat antara satu sama lain dengan lebih cekap.
“Google Translate memecahkan halangan bahasa untuk membantu orang berhubung dan memahami dunia di sekeliling mereka dengan lebih baik. Kami sentiasa menerapkan teknologi terkini supaya lebih ramai orang dapat mengakses alat ini. Pada 2022, kami menambah 24 bahasa baru menggunakan Zero-Shot Machine Translation, di mana model pembelajaran mesin belajar menterjemah ke dalam bahasa lain tanpa pernah melihat contoh. Kami juga mengumumkan Inisiatif 1,000 Bahasa; satu komitmen untuk membina model AI yang akan menyokong 1,000 bahasa yang paling banyak dituturkan di seluruh dunia,” tambahnya.
Perbincangan tentang penambahan bahasa Iban ke dalam Google Translate telah lama dibincangkan, terutama selepas pengumuman oleh Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai, di Persidangan Pembangun Google 2022 di California. The Borneo Post pada 13 Mei 2022 melaporkan bahawa bahasa Iban akan dimasukkan dalam Google Translate selepas ‘Jaku Iban’ dilihat dalam pembentangan semasa ucapan Sundar.