Tempat menarik untuk keluarga dan anak-anak kecil di Kuching.
Bayaran Masuk Hanya RM 3, Terokai Lebih Dari 4000 Koleksi Mengenai Kucing Di Cat Museum Kuching. Buat pecinta anak bulus diluar sana, anda tidak boleh melepaskan peluang untuk mengunjungi tempat yang menakjubkan ini! Terletak di Bandaraya Kuching, Cat Museum di Petra Jaya ini adalah destinasi yang wajib dikunjungi.
Dengan bayaran masuk serendah RM 3 untuk dewasa dan RM 2 untuk kanak-kanak, anda akan dibawa masuk ke dunia kucing, dengan lebih daripada 4000 koleksi yang berkaitan dengan kucing seperti boneka, lukisan, patung, tugu dan memorabilia dari berbagai zaman mengenai kucing di sini.
Terdapat juga seksyen khas Hello Kitty di sini
Selain itu, di sini ada menawarkan seksyen khas untuk karakter terkenal seluruh dunia iaitu Hello Kitty dan ada juga pertunjukan Broadway Cats!
Anda juga boleh mengenali keunikan budaya tempatan terutamanya Bandaraya Kuching yang acap kali dikaitkan dengan haiwan comel iaitu kucing ini.
Seterusnya, terdapat banyak koleksi risalah yang anda boleh temui berdasarkan kajian saintifik mengenai kucing. Anda boleh mempelajari tentang evolusi kucing domestik, peranan mereka dalam pelbagai budaya, dan betapa pentingnya kucing dalam kehidupan seharian.
Tempat strategik di atas Bukit Siol
Terletak di atas Bukit Siol yang tinggi, Muzium Kucing ini berada di ketinggian 60 meter di atas paras laut! Jadi, anda boleh menikmati keindahan Bandaraya Kuching juga di sini.
Beroperasi dari jam 9 pagi hingga 4 petang, jangan lepaskan peluang anda untuk melawat salah satu muzium penuh bersejarah di Bandaraya Kuching ini!