fbpx
Cerita Borneo

Tak Semua Guna Passport Merah, Ini Dokumen Perjalanan Malaysia Yang Anda Perlu Tahu

Anda Tak Tahu Nak Apply Yang Mana Satu?

Tak Semua Guna Passport Merah, Ini Dokumen Perjalanan Malaysia Yang Anda Perlu Tahu. Pernah tak anda tiba di hadapan Pintu Pejabat Imigresen dan berasa blur seketika sebab ada banyak pilihan passport yang boleh dibuat? Lagi-lagi jika anda mempunyai urusan lain seperti belajar atau bekerja, urusan imigresen adalah sesuatu yang melecehkan. Di Malaysia, Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap kuasa imigresen. Jadi, jika anda bukan pemegang kad pengenalan berhuruf K, anda memerlukan passport untuk pergi ke sana.

Jangan risau. Di sini kami sediakan beberapa info tentang dokumen perjalanan yang ada di Malaysia supaya anda boleh memilihnya mengikut keperluan anda. Paling best, bila anda dah buat pilihan yang betul, anda tidak perlu bazirkan wang beratus ringgit untuk sebuah passport merah. Yesshh!

1. Dokumen Gantian Perjalanan

Tak Semua Guna Passport Merah, Ini Dokumen Perjalanan Malaysia Yang Anda Perlu Tahu

Dokumen Gantian Perjalanan ialah sebuah dokumen yang dikeluarkan kepada warganegara Malaysia dari Semenanjung yang ingin melawat ke Sabah atau Sarawak. Ia merupakan alternatif kepada Passport Malaysia atau Dokumen Perjalanan Terhad. Ia boleh disamakan seperti Pas Lawatan Sosial atau Bisnes yang melayakkan seseorang individu untuk tinggal di Sabah atau Sarawak tidak lebih daripada 3 bulan.

Dokumen ini boleh diperolehi di kaunter Balai Ketibaan Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak. Satu-satunya downside tentang dokumen ini ialah ia hanya lah sekeping kertas yang nipis dan mudah koyak. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk menyimpan dokumen ini sebaik mungkin. Kalau hilang, tak pasal-pasal kena tuduh PATI pula kan?

Bayaran : PERCUMA

Sesuai untuk anda yang ;

  • ingin bercuti ke Sabah dan Sarawak
  • mempunyai urusan bisnes atau kursus pendek tidak melebihi 3 bulan
  • tak nak bazir duit buat passport merah

2. Dokumen Perjalanan Terhad (DPT)

Jika anda berhajat untuk tinggal lebih lama di Sarawak, anda perlu memohon Dokumen Perjalanan Terhad atau singkatannya, DPT. Dokumen ini dikeluarkan kepada warganegara Malaysia dari Semenanjung bagi tujuan keluar masuk atau tinggal di Sabah atau Sarawak melebihi 3 bulan. Tempoh sah laku DPT ini ialah 5 tahun dari tarikh ia dikeluarkan dan boleh dilanjutkan tempohnya jika anda ingin berbuat demikian.

Untuk memohon dokumen ini, anda hanya perlu pergi ke kaunter pejabat passport atau memuat turun borang Pasport Malaysia (IM.42) dan mencetaknya di atas kertas A4 (depan dan belakang). Dokumen lain yang diperlukan adalah MyKad, dua keping gambar berukuran 3.5 cm x 5 cm, sijiil kelahiran (bawah umur 12 tahun) dan DPT sedia ada (jika berkaitan). Paling penting, pemohon mesti hadir sendiri. No al-wakil, okay?

Bayaran : RM 5.00

Sesuai untuk anda yang ;

  • bekerja atau belajar di Sabah dan Sarawak
  • berkahwin dengan rakyat Sabah atau Sarawak

3. Dokumen Gantian Perjalanan

Kredit : ulekmathew

Kalau ada yang plan nak buat trip ramai-ramai ke luar negara tapi tak semua ada passport merah, anda boleh cuba apply dokumen gantian perjalanan ini. Dokumen gantian perjalanan atau surat gantian perjalanan dikeluarkan kepada warganegara Malaysia untuk perjalanan secara berkumpulan (5 hingga 20 orang) ke Brunei, Thailand atau Singapura sahaja. Tempoh sah laku dokumen ini ialah selama 9 bulan sahaja dan ia hanya boleh digunakan untuk sekali perjalanan. Alaa, kawtim la dengan kawan-kawan.

Untuk memohon, kesemua pemohon yang memerlukan dokumen ini secara kolektif perlu menghadirkan diri ke pejabat Imigresen dengan membawa MyKad, dua keping gambar berukuran 3.5 cm x 5 cm, dan melengkapkan borang yang boleh didapati di kaunter pejabat Imigresen.

Bayaran : RM 200.00/dokumen

Sesuai untuk anda yang ;

  • trip rakan-rakan atau family ke Brunei, Singapura atau Thailand
  • mempunyai rakan (atau anda sendiri) yang belum memiliki passport Malaysia Antarabangsa

4. Passport Terhad Ke Brunei

Tak Semua Guna Passport Merah, Ini Dokumen Perjalanan Malaysia Yang Anda Perlu Tahu

Selain daripada passport Malaysia Antarabangsa yang berwarna merah, anda juga boleh memohon passport terhad ke Brunei jika anda kerap berulang alik ke negara tersebut atau terpaksa melalui Brunei Darussalam dari satu tempat ke satu tempat. Contohnya seperti perjalanan darat dari Miri ke Limbang. Passport ini boleh dipohon oleh warganegara Malaysia yang menetap di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Pejabat Imigresen negeri-negeri tersebut. Tempoh sah laku passport terhad ini ialah 5 tahun dari tarikh ia dikeluarkan.

Bagi memohon passport terhad ini, anda perlu hadir sendiri ke Pejabat Imigresen dengan membawa MyKad dan dua keping gambar berukuran 3.5 cm x 5 cm berlatar belakangkan biru muda. Untuk syarat-syarat terperinci, anda boleh layari laman web rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.

Bayaran : RM 50.00

Sesuai untuk anda yang ;

  • Tinggal berdekatan dengan sempadan Malaysia – Brunei (Sarawak – Lawas, Limbang, Miri)
  • Ingin melawat atau bercuti ke Brunei Darussalam
  • Menggunakan pengangkutan darat dari Sarawak ke Sabah

5. Pas Sempadan/Lintas Batas

Pas sempadan/lintas batas dikeluarkan dalam bentuk sebuah buku kecil berwarna biru muda. Terdapat dua jenis pas berwarna biru muda iaitu;

Pas Sempadan Malaysia – Thailand

Dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang lahir atau bermastautin tetap melebihi satu (1) tahun di negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Daerah Hulu Perak (Pengkalan Hulu, Grik dan Lenggong) sahaja. Walau bagaimana pun, pas ini hanya sah untuk beberapa kali perjalanan ke sempadan Thailand seperti di Wilayah Satun, Songkhla, Yala, Narathiwat dan Pattani. Tempoh sah lakunya ialah satu tahun dari tarikh ia dikeluarkan.

Bayaran : RM 10.00

Pas Lintas Batas Malaysia – Indonesia

Pas ini pula dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang menetap melebihi 6 bulan di kawasan pentadbiran daerah Pensiangan, Tenom, Sipitang dan Tawau di Sabah. Manakala di Sarawak, daerah yang terlibat ialah Bau, Lundu, Serian, Kuching, Simanggang dan Lubok Antu. Sama seperti Pas Sempadan, tempoh sah lakunya ialah 1 tahun dari tarikh ia dikeluarkan dan boleh digunakan beberapa kali. Namun demikian, seseorang individu tidak dibenarkan tinggal di Indonesia melebihi 30 hari dari hari masuk.

Bayaran : RM 20.00

Siapa cakap nak travel sekarang ni susah? Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tak semestinya ada passport merah, anda tak boleh ke mana-mana, betul tak?

P/S : Dengar cerita, passport merah 2 tahun dah dimansuhkan. Untuk permohonan passport merah 5 tahun pula, kadar baru dah turun kepada RM 200.00 sahaja. Boleh dah kumpul duit sikit-sikit. Nanti boleh kumpul cop masuk tiap kali travel.

Artikel Berkaitan

Back to top button