Kita mampu lakukannya bersama-sama.
COVID-19 Telah Merebak Dalam Komuniti, Ini Nasihat Daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak. Seperti yang anda sedia maklum, kes penularan COVID-19 di seluruh Malaysia semakin meningkat dengan mendadak. Bukan itu sahaja, trend kenaikan ini juga semakin jelas di Sarawak kerana telah wujudnya penularan dalam kalangan komuniti setempat.
Hari ini sahaja, terdapat 37 kes positif dikesan yang melibatkan kawasan luar bandar iaitu kawasan Pasai Siong di Sibu. Sebanyak 8 buah rumah panjang dalam kawalan ketat selama 14 hari agar kerja-kerja pengesanan dan kuarantin dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
Baca selanjutnya di sini :
Oleh yang demikian, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan situasi semasa yang melanda Sarawak pada ketika ini. Dalam masa yang sama, JKNS turut memberi nasihat kesihatan untuk memutuskan rantaian COVID-19 di Sarawak.
Berikut merupakan nasihat memutuskan rantaian COVID-19 daripada kenyataan rasmi oleh pengarah kesihatan negeri Sarawak, Dr. Chin Zin Hing.
Sarawak sekali lagi sedang mengalami peningkatan bilangan kes COVID-19. Kuching akan menjadi zon MERAH dalam masa terdekat. Manakala, banyak daerah telah berubah menjadi zon kuning dan mungkin jingga atau merah jika kita tidak berusaha menghentikan penyebaran jangkitan. Jika kita lalai, sistem perkhidmatan kesihatan kita akan terlalu terbeban sepertimana yang berlaku di Semenanjung Malaysia sekarang.
Semestinya kita tidak mahu ianya berlaku di Sarawak. Jangkitan COVID-19 telah banyak menjejaskan aktiviti seharian kita dan kesihatan orang yang tersayang. Majoriti daripada mereka yang dijangkiti COVID-19 tidak menunjukkan sebarang simptom atau simptom ringan yang mudah sahaja diabaikan. Kes-kes terkini menunjukkan bahawa COVID-19 telah merebak dalam komuniti. Ini melibatkan mereka dalam kalangan usia semuda empat (4) bulan hingga 86 tahun.
Daerah-daerah seperti Sri Aman, Betong, Kapit dan Lawas yang sebelumnya bebas dari jangkitan kini mula terjejas. Golongan yang bekerja dalam komunitilah yang membawa COVID-19 bersama mereka lalu menjangkiti anak-anak dan warga usia emas dalam keluarga. Sebagai tambahan, rakan-rakan saling menjangkiti satu sama lain melalui perjumpaan sosial mereka.
Oleh itu, saya ingin menggesa orang ramai, jika anda sayang kepada diri sendiri, keluarga dan juga negeri Sarawak, silalah lakukan perkara berikut:
- Amatlah penting untuk anda mengamalkan penjarakan fizikal pada setiap masa dengan orang di sekeliling anda. Sila dapatkan ujian di klinik yang berdekatan jika merasakan diri anda berisiko terdedah kepada jangkitan.
- Sekiranya anda kurang sihat, tidak kira seberapa ringan simptom yang ditunjukkan, sila:-
i. Amal penjarakan fizikal pada setiap masa dengan orang di sekeliling anda.
ii. Pergi berjumpa dengan doktor dan mohon untuk menjalani ujian swab COVID-19.
iii. Duduk sahaja di rumah dan asingkan diri anda di dalam sebuah bilik berasingan dan amalkan penjarakan fizikal daripada ahli keluarga terutama mereka yang sudah berusia.
iv. Jangan keluar rumah kecuali sekiranya:
a. Anda perlu berjumpa doktor.
b. Anda dipanggil untuk ujian swab oleh Pejabat Kesihatan Bahagian.
v. Jangan mengunjungi KOPITIAM atau Restoran atau menghadiri Sebarang Perjumpaan di mana-mana. Malahan, untuk membuat pesanan makanan bawa pulang (take away), dapatkan bantuan ahli keluarga atau rakan untuk melakukannya.
vi. Jangan hantar anak anda ke pusat asuhan atau sekolah. Maklumkan guru mereka.
- Tangguhkan sebarang mesyuarat bersemuka yang tidak perlu atau melakukan perjalanan buat masa ini.
Kami amat memerlukan kerjasama daripada SEMUA ORANG untuk membantu mengawal jangkitan COVID-19.
Pada hari ini juga, Sarawak mencatatkan lonjakan kes kepada 55 kes positif dengan Sibu dan Kuching menghampiri status zon Merah. Selain itu, 6 daerah lain termasuklah Samarahan, Sri Aman, Bukit Mabong, Miri, Maradong, dan Bintulu kini berstatus kuning.
Kita mampu melakukannya.