Daftar masuk dalam talian penerbangan AirAsia sudah pulih
Daftar Masuk Dalam Talian AirAsia Sudah Pulih Selepas Terjejas Akibat Gangguan Siber Global. Dilaporkan bahawa AirAsia telah menyambung semula operasi daftar masuk dalam talian pada 2 petang semalam, setelah syarikat penerbangan itu menghadapi kegawatan akibat gangguan teknologi maklumat (IT) global baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Syarikat Penerbangan) AirAsia Datuk Kapten Chester Voo berkata syarikat penerbangan tambang rendah itu akan terus memantau keadaan penerbangan syarikat mereka.

Penumpang dinasihati agar tiba awal di lapangan terbang
Beliau turut menasihati penumpang agar tiba awal di lapangan terbang bagi mengelakkan kemungkinan kelewatan dan beratur panjang.
Sejak gangguan itu bermula, AirAsia telah berjaya menguruskan lebih 168,000 penumpang dalam 941 penerbangan merentasi tujuh Sijil Pengendali Udaranya ( AOC) termasuk AirAsia Malaysia, AirAsia Filipina, AirAsia Indonesia, AirAsia Thailand, AirAsia Kemboja dan AirAsia X.
Ini juga merupakan kali pertama dalam beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat penerbangan tersebut mengalami gangguan sistem pada magnitud sedemikian, yang memerlukan pertukaran mod kepada kertas.

AirAsia telah mengukuhkan operasinya
Syarikat penerbangan itu telah mengukuhkan operasinya bagi menguruskan kesibukan hujung minggu di lapangan terbang dengan menempatkan lebih 200 kakitangan darat, hampir 100 sukarelawan Allstars dan anggota keselamatan untuk membantu menangani keadaan.
Voo turut menyatakan harapan agar prestasi tepat masa (OTP) akan kembali normal dengan penyambungan semula sistem daftar masuk dalam talian.

