Peluang untuk pemuzik Sarawak raih Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik 2.0 MyCreative Ventures
Sertai Acara Khas Di Kuching Ini Untuk Peluang Lebih Cerah Raih Dana Kandungan Digital. Adakah anda seorang penggiat seni muzik yang sedang menjayakan karya agung anda? Atau anda sedang mencari dana untuk mempromosikan muzik anda agar ianya dikenali oleh lebih ramai pendengar? Mungkin acara ini adalah sesuatu yang anda tunggu-tunggu.
Pihak MyCreative Ventures bakal mengadakan Sesi Khas Ask-Me-Anything (AMA) Jelajah Dana Kandungan Digital Industri Muzik 2.0 di Kuching, Sarawak!

Sesi khas ini bakal diadakan di Auditorium FINAS, Kuching Sarawak pada 24 Oktober 2023, Selasa pada jam 2 hingga 6 petang.
Segala kemusykilan dan persoalan mengenai geran DKD Industri Muzik 2.0 bakal diterangkan oleh Muhammad Nadzmi Musa (Pengurus Kanan, Pembangunan Industri, MyCreative Ventures), bersama moderator sesi Noor Fadhilah Mohd Idris (Penolong Pengurus, Pembangunan Industri, MyCreative Ventures).
Apa itu Dana Kandungan Digital (DKD)?
Dana Kandungan Digital (DKD) yang dikawal selia oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), ditubuhkan untuk memperkemas dan mempermudahkan penyaluran dana-dana berkaitan industri kandungan kreatif. DKD merupakan kesinambungan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) dilancarkan pada 2012 untuk memperkemas dan mempermudah penyaluran dana berkaitan industri kandungan kreatif.
DKD dahulunya dikenali sebagai Dana Industri Kandungan Digital (DIKD) dan diperkenalkan dibawah RMK-11 pada April 2015. Skop DKD di bawah MyCreative Ventures adalah Industri Muzik dan telah berjaya dikelola sejak 2022. DKD bagi perfileman adalah di bawah Perbadanan Filem Nasional Malaysia (FINAS) manakala Kandungan Digital dibawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
3 jenis dana yang diperuntukkan di bawah DKD Industri Muzik 2.0
Jenis dana diperuntukkan di bawah DKD Industri Muzik 2.0 MyCreative Ventures
Dana Persembahan Muzik 2.0 – Dibuka selama 6 minggu bermula 22 September – 3 November 2023.
Dana Kebolehanpasaran Domestik 2.0 – Dibuka selama 6 minggu bermula 22 September – 3 November 2023.
Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa 2.0 – Dibuka sehingga akhir tahun bermula 22 September 2023.
Dana DKD tangani cabaran besar promosi muzik tempatan
Menurut Muhammad Nadzmi, cabaran bagi pemuzik di Sabah dan Sarawak adalah tertumpu dari segi promosi, terutamanya untuk menarik lebih ramai pendengar terutama dari Semenanjung Malaysia atau luar negara.
Selain itu, peralihan kepada platform digital juga telah menghambat pertumbuhan artis tempatan yang tidak memiliki dana yang besar untuk mempromosikan karya mereka. Cara pendengar mendengar muzik juga sedikit sebanyak telah mengubah landskap industri muzik. Ini mendorong sebilangan besar pendengar muzik beralih kepada platform digital, seterusnya mencipta tekanan ke atas penjualan fizikal dan pendapatan daripada muzik secara tradisional.
Oleh yang demikian, dana DKD ini adalah salah satu inisiatif daripada kerajaan untuk membantu pemuzik memperhebatkan lagi promosi karya mereka agar pergi lebih jauh.
Buktinya, artis-artis tempatan semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, sekaligus membantu memperkenalkan muzik Malaysia ke pasaran luar.
Siapa yang layak memohon geran DKD Industri Muzik 2.0 ini?
- Warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas; atau Kolektif/kumpulan;
- Organisasi berdaftar dengan SSM atau Syarikat yang didaftarkan di bawah Kerajaan Negeri;
- Tidak bankrap, tidak disenarai hitam oleh agensi atau jabatan yang berkuatkuasa;
- Perlu ada Kertas Cadangan Projek yang lengkap dan jelas – punya keupayaan untuk menjalankan projek, dan perincian bajet;
- Pemohon mempunyai rekod projek/kerja masa lalu yang mencukupi dan relevan.
Contoh kejayaan projek menerusi dana DKD
DKD Industri Muzik bukan sahaja terbuka untuk pemuzik atau artis popular tetapi juga terbuka kepada semua penggiat muzik yang memenuhi kriteria kelayakan. Projek yang menerima DKD Industri Muzik terdiri daripada pemuzik popular dan juga indie seperti;
- Konsert Lah Ahmad: Jatuh Cinta;
- Konsert Semangat Zaman;
- Konsert Mega Zikir Terapi; dan
- Gig Rakyat Jelata.
Bagi mereka yang berminat untuk menghadiri sesi AMA, anda boleh mendaftar RSVP kehadiran anda menerusi borang dalam talian dengan menekan butang di bawah:
Anda juga boleh membuat permohonan untuk geran DKD Industri Muzik 2.0 menerusi pautan http://www.mycreative.com.my/dkdmuzik_2023
Tentang MyCreative Ventures
MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (“MyCreative”/“Kumpulan MyCreative”) ditubuhkan dengan objektif untuk memajukan industri kreatif Malaysia melalui pelaburan strategik dan inovatif. Diperbadankan pada tahun 2012, MyCreative merupakan sebuah subsidiari milik penuh Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dibawah seliaan Kementerian Komunikasi Digital Malaysia (KKDM). Kumpulan MyCreative terus menyokong industri kreatif melalui pengenalan unit-unit di bawahnya iaitu R!UH dan CENDANA pada tahun 2017.
Berikutan pembukaan sektor kreatif, tumpuan Kumpulan MyCreative dipertingkat untuk memacu ekonomi jingga Malaysia melalui inisiatif pembangunan ekosistem yang disusun secara strategik, menerusi bantuan pembiayaan dan pelaburan inovatif, demi mencapai objektif utama untuk meningkatkan sumbangan ekonomi daripada sektor kreatif.