Wanita dan seni bina
Mastermind Di Sebalik Ruang Komuniti Seni Think & Tink, Kenali Arkitek Wanita Berjiwa Borneo Ini. Memiliki ijazah serta akreditasi sebagai seorang arkitek daripada United Kingdom, Wendy Teo Boon Ting adalah seorang arkitek yang berasal dari Kuching, Sarawak yang dikenali menerusi pelbagai projek seni bina di Malaysia, terutamanya di Bandaraya Kuching. Untuk pengetahuan anda semua, beliaulah mastermind di sebalik transformasi wajah pasaraya legenda Kuching, Ting & Ting menjadi sebuah ruang seni komuniti dan inkubator kreatif yang kini diberi nama Think & Tink.
Sempena minggu Hari Wanita Sedunia, kami ingin mengajak anda mengenali penggiat seni ini dengan lebih dekat serta inisiatifnya yang telah berjaya dilancarkan bagi mendidik masyarakat melalui pelbagai medium seni. Hasil kerjanya merangkumi bidang seni bina serta pemeliharaan budaya di Borneo.

Latar belakang ringkas Wendy Teo, arkitek berjiwa Borneo
Pengajian peringkat ijazah seni bina di Taiwan dan United Kingdom telah membentuk jati diri Wendy sebagai seorang arkitek dengan sentuhan seni bina yang unik. Beliau menimba pengalaman di luar negara dengan merancang pelan utama (masterplan) untuk bandar, muzium, dewan pameran dan sebagainya, selain pernah menjadi salah seorang ahli pasukan untuk projek seni bina melibatkan lokasi berprestij seperti Menara Residensi Battersea Power Station di London, F+P National Marine Museum di Taiwan serta masterplan China Resource Mix City di Shenzhen, China.

Pengalaman sudah tentunya mematangkan Wendy. Sepanjang penglibatannya dalam projek seni bina di luar negara, beliau bukan sahaja bergelar arkitek, tetapi juga memiliki kemahiran sebagai kurator, penyelidik dan tutor. Hasil penyertaannya dalam pelbagai jenis bengkel untuk menurunkan ilmu pengetahuan seni bina kepada generasi muda diiktiraf di New Orleans, Amerika Syarikat, Turki, China, Taiwan dan London, United Kingdom.
Sekembalinya ke tanah air, projek pertama Wendy adalah jelajah penyelidikan Pan Borneo. Namun, dapatan segera beliau daripada siri jelajah tersebut adalah terdapat jurang yang besar dalam kalangan penduduk tempatan terutamanya di Sarawak, dan Borneo amnya, dari segi pengetahuan, perkhidmatan dan produk merangkumi pelbagai disiplin seni. Kekurangan inilah yang memotivasikan Wendy untuk terus bertapak di Kuching, Sarawak demi matlamat seni yang lebih besar dan menyeluruh.
Daripada Ting & Ting kepada Think & Tink: Transformasi pasaraya legenda Kuching menjadi ruang seni komuniti
Susulan itu, pada tahun 2016, Wendy menubuhkan platform kreatifnya sendiri iaitu Wendy Teo Atelier yang memfokuskan kepada projek seni bina dan pembangunan ruang berteraskan eksperimen berserta dialog sosial. Setahun kemudian, Wendy menubuhkan platform Borneo Laboratory untuk meneroka disiplin seni dengan lebih meluas. Platform Borneo Laboratory menjurus kepada produk artisan sehinggalah ke pembangunan ruang berasaskan konsep ‘Estetik Borneo’ – tumpuan kepada aspek seni dan budaya yang terdapat di Borneo.

Menurut Wendy, kedua-duanya adalah platform pengetahuan seni yang merangkumi pelbagai aspek seperti seni bina, pemeliharaan budaya ketara (tangible) dan tidak ketara (intangible) menerusi kraftangan tempatan, seni persembahan, aktiviti kurator, penyelidikan, penerbitan dan pameran seni. Matlamat jangka masa panjang platform Wendy ini adalah untuk meneroka keindahan ‘Estetika Borneo’, memelihara serta menyokong artis dan pencipta kraf di Borneo untuk mencipta produk dan karya seni artisan secara berterusan.
Ruang ini kemudiannya berperanan menjadi pusat yang menggalakkan perbincangan sosial dan ekperimen teknologi seni komuniti. Malah, sehingga kini, ia telah berjaya menarik minat dan mengumpul pelbagai bakat seni dari latar belakang yang berbeza untuk bekerjasama dalam projek seni bina, bengkel dan penempatan. Wendy mengendalikan platform-platform ini di ruang seni komuniti dan inkubator, Think & Tink.

Buktinya, pada tahun 2019, Wendy bersama platformnya telah berjaya menarik dan menghimpun orang ramai untuk turut serta dalam instalasi bertajuk ‘The Origin’ – proses pembinaan pavilion buluh berbentuk bulat di titik permulaan Kuching secara sukarela. Bagi Wendy, kenangan manis yang dikecapi bersama komuniti adalah momen yang tidak dapat dilupakan. Apatah lagi, pavilion tersebut diserikan dengan proses sentuhan terakhir nyalaan lilin – ‘lit up the origin’ dan sempat dirakam menggunakan dron.



Geran dari CENDANA, salah sebuah entiti Kumpulan MyCreative mengembangkan misi hijau dan imaginasi luar biasa Wendy
Inisiatif Wendy untuk memupuk kegiatan seni merentas disiplin di Sarawak telah disokong sepenuhnya oleh Kumpulan MyCreative Ventures (Kumpulan MyCreative) menerusi geran CENDANA – Program Komisen Seni Awam ‘Art in the City’. Menerusi geran ini, Wendy dan pasukannya di Borneo Laboratory telah melancarkan sebuah projek taman komuniti awam yang bernama ‘Urban Green Pockets’ selepas pelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) pada awal tahun 2022.
Mengambil inspirasi daripada rama-rama, kerangka projek instalasi ini didirikan di ruang atas bumbung bangunan Think & Tink agar ia dapat dilihat dengan jelas dari kawasan sekitarnya. Melalui projek ini juga, mereka berjaya menggalakkan orang ramai untuk menyedari akan kehadiran ruang seni komuniti tersebut.



Bagi menarik penyertaan komuniti awam untuk turut serta dalam misi hijau ini, kempen #plantlifefromplastic juga turut dilancarkan dan telah berjaya mengumpul lebih kurang 1,500 botol plastik 1.5 liter terpakai hasil sumbangan orang ramai. Botol-botol ini kemudiannya digunakan sebagai bekas tanaman sayuran yang merupakan sebahagian daripada struktur instalasi seni yang menakjubkan ini.

Bertepatan dengan slogannya ‘Connect Widely, Think Deeply and Act Daringly’, Projek Urban Green Pockets hasil pembiayaan CENDANA ini menyerlahkan komitmen Wendy dan Borneo Laboratory untuk membudayakan inisiatif hijau serta makanan alternatif menerusi seni taman boleh makan (edible garden) bersulamkan keindahan seni bina di tengah bandaraya Kuching.
Satu lagi pencapaian besar Wendy adalah instalasi cahaya ‘Rainbow Ribbon’ di Taman Lalu Lintas Kenyalang Park, Kuching menerusi geran CENDANA – ‘The Light Project’. ‘The Light Project’ adalah kesinambungan daripada program ‘Art in the City’ CENDANA dengan kerjasama Think City yang mempelawa artis pelbagai kategori dari seluruh Malaysia mempamerkan seni instalasi berasaskan cahaya untuk menghidupkan semula suasana bandar sewaktu tempoh pandemik.

Untuk instalasi ‘Rainbow Ribbon’ ini, Wendy berjaya menghimpunkan artis Sarawak dari pelbagai genre untuk memeriahkan lagi instalasi cahaya neon berbentuk riben. Ini sekaligus memberi ruang untuk para artis mengekspresikan karya untuk dinikmati dan dihayati oleh orang ramai, meskipun pada waktu pandemik yang sukar.
Media sosial, pameran dan penerbitan jadi batu loncatan platform Wendy
Jelas Wendy, media sosial, pameran dan penerbitan mereka memainkan peranan besar dalam menceritakan kisah mereka serta jenama platform ini melangkah lebih jauh. Bukan itu sahaja, Wendy Teo Atelier dan Borneo Laboratory juga aktif menghubungkan diri dengan pemain industri di Borneo dan Malaysia bagi membolehkan lebih banyak potensi kolaborasi dan penciptaan seni berasaskan komuniti dapat dilaksanakan.

Dalam masa yang singkat, Wendy Teo Atelier dan Borneo Laboratory telah sedikit sebanyak merancakkan suasana kreatif, seni bina dan apresiasi masyarakat terhadap seni pelbagai disiplin di Sarawak menerusi usaha mereka yang gigih dan inovatif. Tentunya, kejayaan Wendy ini dapat dijadikan sebagai sebuah inspirasi kepada orang awam khususnya generasi muda untuk meneroka keindahan estetik Borneo.
Karya seni instalasi serta perkembangan terkini Wendy Teo Atelier dan Borneo Laboratory boleh diketahui dengan lebih lanjut menerusi laman Facebook (Borneo Laboratory), Instagram (@wendyteoatelier | @borneolaboratory) dan laman sesawang (http://borneoartcollective.org/).
Jika anda seorang penggiat seni dan kreatif, sila layari www.mycreative.com.my atau ikuti Instagram Kumpulan MyCreative (@mycreativeventures) untuk mengetahui bantuan pembangunan yang bersesuaian untuk anda.
Kumpulan MyCreative juga merangkumi CENDANA yang berfokuskan kepada aspek pembangunan industri kreatif, R!UH sebagai platform pengaktifan utama pengamal kreatif mempamerkan produk dan bakat mereka serta BASKL, sebuah platform dalam talian yang menerbitkan artikel, ulasan dan podcast berinformatif mengenai kesenian, muzik dan kebudayaaan di Kuala Lumpur.