Dang Insum: Srikandi Bisaya yang Hampir Dilupakan dalam Sejarah Sabah
Dang Insum, Srikandi Bisaya Berjuang Pertahankan Sabah Daripada Jajahan British. Bila sebut tentang perjuangan menentang penjajah di Borneo, nama-nama seperti Mat Salleh sering disebut. Namun, tahukah anda bahawa di sebalik perlawanan sengit di Sungai Padas, ada seorang wanita gagah perkasa yang memimpin benteng pertahanan?
Namanya Dang Insum, seorang pahlawan dari suku Bisaya yang mempertahankan Kota Makarang daripada serangan British North Borneo Chartered Company (BNBCC) pada tahun 1889.

Latar Belakang Perang di Padas Damit
Pada ketika itu, wilayah Padas Damit berada di bawah kuasa Pengiran Shahbandar Hassan, yang bertindak sebagai wakil kepada adinda Sultan Brunei. Beliau mempunyai hak penuh ke atas wilayah tersebut sebelum kehadiran BNBCC yang mahu menguasai tanah di sekitar Sungai Padas.
Namun, pihak kompeni bukan sahaja enggan mengiktiraf kuasa Pengiran Shahbandar Hassan, malah mereka menghasut penduduk tempatan dengan dakwaan palsu bahawa sesiapa yang setia kepada Pengiran akan dijadikan hamba abdi. Selain itu, mereka juga memperkenalkan cukai kepala dan cukai tanah, yang membebankan masyarakat setempat.
Hal ini mencetuskan kemarahan Pengiran Shahbandar Hassan, yang akhirnya mengisytiharkan perang terhadap kompeni, dengan sokongan kuat daripada masyarakat Bisaya.

Kota Makarang dan Keberanian Dang Insum
Dalam usaha mempertahankan wilayah mereka, Pengiran Shahbandar Hassan telah membina empat buah kubu pertahanan di sepanjang Sungai Padas, termasuklah Kota Makarang, yang dipertanggungjawabkan kepada seorang wanita gagah bernama Dang Insum.
Bukan calang-calang orang, Dang Insum memimpin barisan pejuang tempatan untuk mempertahankan tanah air mereka daripada serangan tentera British. Beliau berdiri sebaris dengan para pahlawan lelaki dalam mempertahankan kubu tersebut, satu perkara yang jarang berlaku pada waktu itu.
Namun, pada Januari 1889, pihak kompeni yang dibantu oleh 200 orang anggota bersenjata, menyerang Kota Makarang dengan bedilan meriam bertubi-tubi. Kubu yang dibina dengan penuh semangat patriotisme itu akhirnya roboh, menyebabkan ramai pejuang menjadi korban. Walaupun begitu, Pengiran Shahbandar Hassan tetap tidak mahu menyerah kalah.

Akhirnya, Rundingan Damai
Selepas empat bulan pertempuran, Gabenor Labuan ketika itu, A.S. Hamilton, mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Gabenor C.V. Creagh. Hamilton enggan membiarkan perang terus berlarutan dan mengusulkan rundingan damai yang akhirnya dicapai pada 10 Mac 1889.
Namun, yang menyedihkan ialah sejarah Dang Insum tidak direkodkan secara meluas. Jika dibandingkan dengan tokoh-tokoh lain seperti Mat Salleh, nama beliau seakan-akan tenggelam dalam lipatan sejarah.
Mengapa Sejarah Dang Insum Tidak Diketengahkan?
Persoalannya, mengapa nama pejuang wanita sehebat Dang Insum tidak disebut dalam buku teks sejarah? Mengapa hanya pahlawan lelaki yang sering mendapat perhatian? Sehingga ke hari ini, pedang dan gelang kaki Dang Insum masih disimpan oleh keturunannya, tetapi namanya masih belum mendapat penghormatan yang sewajarnya.
Sejarah pejuang wanita seperti Dang Insum wajar diangkat dan dijadikan inspirasi kepada generasi akan datang, terutama dalam memperjuangkan hak dan mempertahankan maruah bangsa. Jika Mat Salleh dikenang sebagai pahlawan di Tambunan, maka Dang Insum juga layak dihormati sebagai srikandi Bisaya yang telah berjuang mempertahankan Kota Makarang.

