‘Tak Sengaja, Hanya Gurauan’, Penjelasan Ifa Raziah Tentang Komen Tular
Didakwa Hina Wanita Iban, Ifa Raziah Tampil Mohon Maaf Secara Terbuka. Penyanyi dan usahawan popular, Datuk Ifa Raziah, baru-baru ini terpaksa membuat permohonan maaf secara terbuka selepas menerima kecaman hebat daripada netizen. Kecoh di media sosial, semuanya gara-gara satu komen gurauan beliau yang dianggap memperlekehkan kaum Iban.

Ifa menyatakan dengan tegas bahawa tiada niat untuk cetuskan provokasi
Namun, Ifa dengan tegas menyatakan bahawa tiada niat untuk mencetuskan provokasi atau menghina mana-mana etnik. Dalam video penjelasan yang dimuat naik di Instagram, Ifa menjelaskan:
“Saya terkejut kerana komen yang ditinggalkan itu sudah berlaku enam minggu lepas tetapi hanya tular tiga hari lepas dan kebetulan saya berada di Singapura. Bila diperiksa baru saya tahu ia dari video Kelly Azman. Namun, pada ketika itu, saya dan Kelly hanya bergurau.”
Apa Isu Sebenarnya?
Semuanya bermula apabila Ifa meninggalkan komen, “Ingatkan perempuan Iban mana yang tersesat,” di ruangan video rakannya, Kelly Azman. Komen tersebut kemudian dikongsikan oleh seorang pengguna Threads yang menuduh Ifa tidak sensitif terhadap kaum Iban. Ia pantas menjadi isu besar, dengan ramai netizen menyuarakan rasa kesal dan menganggap komen itu berunsur provokasi.
Namun, Ifa menjelaskan bahawa gurauan itu langsung tidak bermaksud untuk memperlekehkan sesiapa:
“Saya tak bermaksud apa-apa pun. Kali pertama saya lihat video itu, saya nampak ‘head gear’ yang Kelly pakai sangat cantik. Selalunya orang Semenanjung tak pakai perhiasan kepala macam tu. Itu hanya gurauan antara saya dan sahabat baik saya.”
Tambah Ifa, beliau sendiri mempunyai ramai kenalan dari Sabah dan Sarawak:
“Setahu saya juga, orang Borneo paling cantik di Malaysia. Saya pun ada ramai kawan dari pelbagai etnik. Takkanlah saya nak main sentimen perkauman. Tak terlintas langsung di hati saya.”
Kenapa Ifa Lewat Mohon Maaf?- Netizen
Netizen turut mempersoalkan mengapa Ifa mengambil masa yang lama untuk memberikan penjelasan. Menurut Ifa, beliau berada di Singapura atas urusan kerja dan tidak mahu membuat penjelasan secara tergesa-gesa melalui hantaran ringkas.
“Untuk orang Borneo, Sabah, Sarawak dan orang Iban, demi ALLAH saya tiada niat untuk menggores perasaan anda. Sekiranya ada ayat saya yang menggores hati orang Iban, saya susun sepuluh jari dan mohon maaf. Saya harap penjelasan ini dapat menyelesaikan isu yang berlaku,” katanya.
