Negeri yang kaya dengan keindahan alam semulajadi.
Ini 5 Teori Asal Usul Nama Negeri Di Bawah Bayu, Sabah. Negeri Sabah sememangnya kaya dengan keindahan alam semulajadi. Malah, negeri dengan gelaran negeri di bawah bayu itu turut mempunyai rangkaian pulau yang menawan dan memukau sesiapa sahaja yang melihat.
Namun demikian, tidak ramai yang tahu akan asal usul sebenar nama Sabah. Dalam artikel kali ini, kami kongsikan beberapa teori menarik yang menyatakan tentang asal usul nama Sabah.
Kebanyakannya memang agak logik jika difikirkan.
Teori 1 : Nama sejenis tumbuhan iaitu Pisang Saba
Dalam banyak-banyak versi asal usul nama Sabah, teori nama Sabah yang berasal dari pisang adalah yang paling popular dan diketahui ramai.
Menurut hikayat lama, masyarakat Bajau banyak menanam sejenis pokok pisang yang dikenali sebagai pisang Sabbah atau Sappah. Aktiviti penanaman pisang ini sangat meluas sewaktu kawasan mereka masih di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei. Pisang ini juga digelar pisang menurun oleh penduduk tempatan.
Tumbuhan ini banyak didapati di kawasan pantai Barat Sabah. Pisang ini sangat berbeza dengan pisang-pisang lain yang ada di Kepulauan Borneo. Barangkali, nama Sabah diambil sempena nama pisang yang ‘rare’ tersebut.
Teori 2 : Asal dari Bahasa Kedayan Brunei
Menurut teori pengkaji sejarah British, Allen R. Maxwell, nama Sabah berkemungkinan berasal daripada bahasa Kedayan Brunei iaitu sabak. Masyarakat Kedayan Brunei merupakan suku kaum terbesar di Brunei.
Dalam bahasa Kedayan Brunei, perkataan sabak membawa maksud hulu sungai. Berdasarkan kedudukan geografi Sabah, ia sememangnya berada di kawasan hulu dari arah Bandar Seri Begawan dan Sungai Brunei.
Sultan Brunei menamakan kawasan ini sebagai sabak bagi memudahkan petunjuk arah dan kekal dengan istilah tersebut sehingga kedatangan penjajah British.
Teori 3 : Ejaan ‘Sabak’ dari gelaran Maharaja Sabak
Tahukah anda pada zaman dahulu, Sabah yang anda lihat pada hari ini ialah di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu?
Sekitar tahun 1870-an, seorang saudagar Jerman yang bernama Baron Gustav von Overbeck telah berjaya mendapatkan hak serahan tanah Sabah dari kedua-dua Kesultanan ini. Beliau kemudian menjadikan Sabah sebagai wilayahnya sekaligus menubuhkan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British bersama adik-beradik Dent dari Britain.
Sultan Brunei pada waktu itu iaitu Sultan Abdul Mumin telah berkenan untuk memberikan gelaran Maharaja Sabak kepada Overbeck. Namun, pihak Inggeris menukarkan ejaan ‘Sabak’ kepada ‘Sabah’ bagi memudahkan sebutan mengikut pelat Inggeris mereka.
Walau pun penggunaan nama Sabah tidak dibenarkan oleh kerajaan British lalu menukarkannya kepada nama ‘North Borneo’, namun masyarakat tempatan tetap bangga memanggil tanah air mereka dengan panggilan Sabah sehingga ke hari ini.
Teori 4 : Panggilan orang tempatan untuk laut
Penduduk tempatan juga mempunyai versi sendiri tentang asal usul nama Sabah. Berdasarkan penceritaan daripada nenek moyang mereka, nama Sabah berasal dari perkataan ‘Dasasabah’ yang bermaksud laut.
Penduduk yang tinggal di sekitar kawasan kepulauan Sabah akan berkata ‘Mongoi dasasabah’ jika mereka hendak turun ke laut.
Bagi orang yang bukan asal dari Sabah, mereka akan mendengar mereka seperti menyebut ‘Sasabah’. Dari situlah, masyarakat luar menyangka tempat ini bernama ‘Sabah’.
Penduduk juga tidak menafikan asal usul teori pisang Saba namun sesetengah masyarakat Sabah tidak memanggilnya nama pisang tersebut dengan nama Saba tetapi sebaliknya pisang Nipah.
Teori 5 : Asal Dari Bahasa Arab
Teori ini juga agak menarik sebenarnya. Ada sesetengah yang berpendapat bahawa nama Sabah berkemungkinan berasal dari perkataan Arab.
Al-kisahnya, pada zaman dahulu, pedagang-pedagang Arab sedang dalam perjalanan belayar ke China. Namun, sewaktu pelayaran, mereka terpaksa berlabuh ke sebuah kawasan akibat ribut yang maha kuat.
Terpikat dengan keindahan negeri tersebut, mereka memanggilnya dengan gelaran Saba’ atau Sabah yang beerti indah dan damai. Nama ini juga dikatakan sama seperti nama sebuah negeri di Arab iaitu Sheba’.
Begitulah 5 teori menarik tentang asal usul nama Sabah. Adakah anda pernah mendengar teori yang lebih menarik tentang asal usul nama Sabah? Boleh juga kongsikan di ruangan komen.