Anda Pasti Setuju Jika Anda Seorang Pencinta Kopi

Ini Rupanya Sebab Mengapa Kopi Tenom Lebih ‘Kaw’ Dari Kopi Yang Anda Pernah Minum. Kopi merupakan sebuah minuman yang mempunyai ramai peminat di seluruh dunia. Menurut USA National Coffee Association, biji kopi mula dikenal pasti di negara Etiopia apabila seorang lelaki bernama Kaldi kehairanan melihat kambing peliharaannya sangat aktif dan tidak dapat tidur setelah memakan bijian kopi. Bahkan, ada yang menganggap bahawa kopi ini adalah sumber inspirasi dan semangat tatkala menghirupnya di awal pagi.
Nikmatnya hanya pencinta kopi tegar sahaja yang memahami.

Begitu juga di Tenom, Sabah. Sebuah daerah yang berada di pedalaman negeri di bawah bayu ini sememangnya menjadi syurga kopi sejak sekian lamanya. Khabarnya, kopi yang dihasilkan di Tenom mempunyai rasanya yang tersendiri.
Asal Usul Kopi Di Tenom

Tanaman kopi di daerah Tenom ini dikatakan mula diperkenalkan oleh penjajah British (Syarikat Borneo Utara British/SBUB) pada tahun 1926. Tanaman ini dibuka seluas 300 hektar di Estet Sapong, Tenom. Bagi meningkatkan pengeluaran, buruh-buruh dari China berketurunan Hakka dan Kantonis dibawa masuk sebagai tenaga kerja. Pada ketika itu, tanaman kopi yang diusahakan adalah dari kopi jenis Arabica.

Namun demikian, sekitar tahun 1955, ladang kopi Arabica yang pada asalnya mendatangkan hasil yang lumayan mendapat serangan penyakit dan serangga perosak. Oleh itu, pegawai British pada tahun berikutnya mengesyorkan agar tanaman kopi jenis Arabica diganti dengan kopi jenis Robusta yang lebih sesuai dengan iklim di Tenom.


Industri kopi di Tenom ini semakin berkembang apabila Jawatankuasa Promosi Kopi Tenom ditubuhkan pada tahun 1960. Sejak itu, banyak kilang pemprosesan kopi dibuka oleh pengusaha Cina seperti kilang kopi Yit Foh (1960), kilang kopi Tong Fah (1973), dan kilang kopi Fatt Choi (1987). Kilang-kilang ini masih beroperasi sehingga ke hari ini.
Rasa ‘Kaw’ Luar Biasa, Ini Rupanya 5 Keunikan Kopi Tenom
1. Biji Kopi Dimasak Menggunakan Kayu Api Daripada Batang Pokok Getah Tua

Menurut pengeluar kopi tertua di Tenom, Yit Foh Sdn Bhd, biji kopi yang dimasak menggunakan kayu api daripada batang pokok getah mempunyai aroma asli kopi Tenom. Mereka mengakui pernah mencuba memproses biji kopi menggunakan dapur gas namun rasa dan aromanya tidak mencapai kualiti setanding menggunakan kayu api.
Malah, aroma asli yang menjadi identiti kopi Tenom hilang jika tidak menggunakan kaedah memasak kayu api.


Dengan menggunakan kaedah tradisi ini, keenakan kopi Tenom dapat dikekalkan sejak ia mula dikeluarkan pada tahun 1960 sehingga ke hari ini.
2. Proses Pembuatannya Mengambil Masa Yang Lama

Proses pembuatan kopi Tenom secara keseluruhannya mengambil masa yang agak lama disebabkan kaedah memasak tradisional masih diamalkan.
Biji kopi pada mulanya akan dimasukkan ke dalam tong besi dan dicampur dengan gula pasir dan mentega. Kemudian, ia akan dimasak selama 2 jam sehingga menghasilkan asap putih yang berbau harum.

Setelah itu, biji kopi akan dikeluarkan dan disejukkan selama 30 minit sebelum dimasukkan ke dalam bekas penyimpanan atau dihantar ke tempat pengisaran.
3. Semua Kopi Yang Dihasilkan Di Tenom Diberi Nama Kopi Tenom Tanpa Mengira Pengeluar

Jika anda sebelum ini mengenali jenama kopi berdasarkan nama pengeluarnya, lain pula halnya bagi kopi di Tenom ini.

Untuk pengetahuan anda, kopi Tenom merupakan jenama geografi yang merujuk kepada nama daerah pengeluar kopi tersebut. Oleh sebab itulah, semua kopi yang dihasilkan di daerah Tenom diberi nama kopi Tenom tanpa mengira siapa pengeluarnya.
4. Tenom Adalah Daerah Pertama Di Sabah Yang Memiliki Kilang Kopi

Keunggulan kopi Tenom ini juga berakar umbi daripada penubuhan kilang kopi di daerah tersebut yang merupakan kilang kopi pertama di Sabah.
Disebabkan rasa aslinya yang konsisten sehingga ke hari ini, pasaran produk kopi Tenom kini boleh didapati di seluruh Sabah, Labuan, Sarawak, Semenanjung malah negara jiran, Brunei Darussalam.
5. Menjadi Kopi Pilihan Hotel Dan Resort Di Sabah

Kebanyakan hotel dan resort di Sabah menggunakan kopi Tenom untuk akomodasi mereka. Penggunaan produk tempatan dalam industri perhotelan seperti ini sudah tentu melariskan lagi jenama kopi Tenom terutamanya kepada pelancong luar.
Selain itu, ia juga dijadikan sebagai buah tangan pelancong dari seluruh pelusuk dunia.

Peminat kopi mesti dah terbayang-bayang aroma kopi Tenom ni kan?
Jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang apa yang menarik di kilang kopi Tenom serta kawasan sekitarnya, sila baca artikel ini : Kilang Kopi Yit Foh Tumpuan Pelancong Ke Tenom