Penunggang tersebut dilihat terkulai akibat dirempuh
Padah Lawan Arus, Rider Tercampak Tepi Jalan Dirempuh Bas Di Saratok. Satu laporan kemalangan yang melibatkan bas persiaran dan motosikal telah tersebar di Jalan Pusa, berhampiran Mendas Baru, Saratok, Sarawak pada hari Selasa.
Menurut sumber Sarawak Roads Update, kejadian itu dikatakan berlaku kira-kira jam 9 malam.
Dalam video yang disiarkan di media sosial, penunggang motosikal kelihatan terlantar di lorong kanan jalan itu, tidak jauh dari kenderaannya.
Bas persiaran yang terbabit dalam kemalangan itu pula kelihatan berhenti lebih kurang 50 meter (m) dari tempat kejadian dengan kesan brek tayar juga terlihat di atas jalan.
Orang ramai yang memberi komen di ruang media sosial berkata bahawa kejadian itu berpunca daripada penunggang motosikal yang menunggang lawan arah di lebuh raya tersebut.
Ini menyebabkan pemandu bas tidak dapat mengelak dan melanggar mangsa.
Pada masa laporan ini ditulis, keadaan mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu masih belum diketahui dan pihak polis juga belum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai kejadian itu.
