Anak Sarawak ini mendapat anugerah Tokoh Kraf Negara
Kepakaran Bangie Anak Embol Dalam Tenunan Pua Mendapat Anugerah Tokoh Kraf Negara. Tahun ini, Bangie Anak Embol, 78, menerima Anugerah Tokoh Kraf Negara atas pengalamannya selama 68 tahun dalam seni kraf tenunan pua.
Bangie merasa bersyukur dan teruja dengan penghargaan tersebut, kerana sebelum ini dia tidak pernah menjangkakan untuk menerima pengiktirafan tertinggi tersebut. Penghargaan ini menjadi pemangkin semangat baginya untuk terus berkongsi kepakarannya, terutama dengan generasi muda.

Tenunan pua adalah unik kerana memerlukan kehalusan dan ketelitian dalam reka corak, serta gabungan motif flora, fauna, dan figura.
Sebagai generasi kelima dalam perusahaan tenunan pua, kepakarannya turut diwarisi oleh anak menantu dan lapan orang cucunya.
Beliau menjelaskan bahawa tenunan pua adalah unik kerana memerlukan kehalusan dan ketelitian dalam reka corak, serta gabungan motif flora, fauna, dan figura. Setiap tenunan pua yang dihasilkan juga memiliki penceritaan tersendiri, diilhamkan oleh mimpi dan imaginasi Bangie sendiri.
“Harapannya adalah agar seni kraf tenunan pua ini terus berkembang dan dikenali ramai, serta dapat memberikan pendapatan kepada komuniti setempat, khususnya masyarakat Iban,” katanya semasa ditemui dalam Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2024.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir adalah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan, Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Ketua Setiusaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, serta Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk ‘Ainu Sham Ramli.
Produk hasil tangan Tokoh Kraf Negara boleh dilihat dalam pameran HKK 2024. Penganjuran HKK kali ke-21 ini melibatkan penyertaan 640 usahawan kraf dari pelbagai bidang seperti kraf tekstil, logam, rimba, tanah, dan lain-lain.
Dengan konsep ‘Kraf Identiti Malaysia’, HKK 2024 menampilkan elemen keunikan dan keaslian produk kraf Malaysia melalui reka bentuk yang terinspirasi daripada kebudayaan tempatan.

Penganjuran HKK 2024 juga disertai Festival Kraf Kebangsaan (FKK) 2024 di pusat beli-belah terpilih di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah, dan Sarawak mulai 23 Februari hingga 21 April 2024.
Anugerah Tokoh Kraf Negara merupakan pengiktirafan kepada pengusaha kraf berkemahiran tinggi yang memberi sumbangan besar dalam memartabatkan seni kraf warisan negara. Selain memberikan galakan kepada pengusaha kraf, anugerah ini juga bertujuan mempertahankan seni kraf tempatan dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Sehingga 2022, tujuh Tokoh Kraf Negara telah diiktiraf dalam bidang ukiran kayu, logam perak, tekatan benang emas, tenunan songket, seramik, dan ukiran halus melalui proses pencalonan dan pemilihan berdasarkan kriteria kepakaran, sumbangan kepada industri kraf, serta pengiktirafan dan anugerah sebelum ini. Pencalonan dilakukan oleh Adiguru Kraf yang dilantik oleh Kraftangan Malaysia.
