Khabib Nurmagomedov Tertarik Dengan Bakat Johan Ghazali, Pelawa Berlatih di Dagestan
Khabib Pelawa Sedia Beri Latihan Eksklusif Bintang Muay Thai Jojo Di Dagestan. Bekas juara dunia lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC), Khabib Nurmagomedov, mempelawa jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali Zulfikar, atau lebih dikenali sebagai Jojo, untuk berlatih di pusat latihannya di Dagestan, Rusia.
Khabib, yang terkenal sebagai salah seorang jaguh seni bela diri campuran (MMA), menyatakan kekagumannya terhadap bakat Johan, seorang anak jati Sarawak yang berpotensi besar. Menurut Khabib, Johan adalah atlet yang berbakat, dan beliau bersedia memberi sokongan penuh sekiranya Johan berhasrat untuk beralih ke sukan MMA pada masa hadapan.

Bintang Muay Thai Malaysia Johan Ghazali Dipelawa Khabib Berlatih di Dagestan
“Saya tahu Johan masih muda dan merupakan seorang pejuang yang hebat. Saya ingin ucapkan selamat maju jaya kepadanya. Dia pernah memberitahu saya bahawa mungkin mahu mencuba MMA setelah berjaya dalam sukan Muay Thai,” kata Khabib dalam satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Khabib juga menambah bahawa pintu pusat latihan di Dagestan sentiasa terbuka untuk Johan jika beliau ingin meningkatkan kemahirannya dalam MMA. “Jika Johan mahu beralih ke MMA, kami akan sambut baik dan memberi latihan untuk membantu meningkatkan kemahirannya. Kami sangat mengalu-alukan kedatangannya,” katanya lagi.
Bercakap mengenai perkembangan seni bela diri tempur di Malaysia, Khabib, yang kini berusia 36 tahun dan telah disenaraikan dalam UFC Hall of Fame 2022, mengakui bahawa Malaysia memiliki ramai atlet berbakat yang mampu mencapai kejayaan di peringkat dunia. Namun, menurut beliau, bagi Malaysia untuk melahirkan juara MMA bertaraf dunia, negara ini perlu membina asas yang kukuh melalui jurulatih berpengalaman dan sistem latihan yang mantap seperti yang dilaksanakan di Dagestan.
“Saya mengikuti perkembangan MMA di seluruh dunia dan sedar tentang ramai atlet berbakat serta jaguh Muay Thai yang Malaysia miliki. Tetapi, Malaysia memerlukan lebih ramai jurulatih berkelayakan dan sistem latihan yang teratur untuk melahirkan bintang MMA di peringkat antarabangsa,” tambah Khabib.
Beliau turut menjelaskan bahawa di Dagestan, mereka telah membangunkan sistem latihan yang teguh dengan barisan jurulatih yang mempunyai kemahiran tinggi, yang telah berjaya melahirkan ramai juara dalam pelbagai sukan tempur.
“Untuk menghasilkan atlet bertaraf dunia, negara perlu mempunyai sistem yang kukuh dan jurulatih yang berpengalaman. Kombinasi ini sangat penting untuk mengangkat prestasi atlet ke peringkat tertinggi,” katanya. – BERNAMA