Menderita hidup akibat dahagakan perhatian.
Kisah Tragik Nicokado Avocado, Youtuber Yang Kini Terlantar Akibat Mukbang. Dunia content creator kadang-kadang boleh menjadi begitu menakutkan dan kejam jika sentiasa menurut kehendak penonton. Malah, jika semua permintaan ini sentiasa dipenuhi, kehidupan di dunia nyata juga tentunya akan terkorban sekali.
Demikianlah yang terjadi kepada seorang Youtuber terkenal, Nikocado Avocado yang kini menghidap penyakit kronik akibat terlalu dahagakan perhatian penontonnya.

Kelahiran ‘Nikocado Avocado’
Lahir pada tahun 19 Mei 1992 di Ukraine, Nikocado Avocado atau nama sebenarnya, Nicholas Perry memberitahu bahawa dirinya diangkat oleh sebuah keluarga di Amerika dan membesar di Harrisburg, Pennysylvania. Beliau dahulunya merupakan seorang yang mengamalkan gaya hidup vegan dan minat bermain biola. Beliau sempat menjadi seorang pemain biola bebas dan memiliki impian untuk bermain biola dengan Broadway, persembahan teater berprestij di New York.
Walau bagaimanapun, beliau berputus asa dengan cita-cita tersebut kerana menyifatkan bahawa persaingan yang perlu diharunginya adalah sangat sengit. Apatah lagi, untuk berjaya dalam bidang tersebut memandang lebih daripada sekadar bakat meskipun kebolehan bermain biolanya mendapat pujian di profil LinkedIn.

Beliau kemudiannya mula aktif di platform Youtube sekitar tahun 2014. Pada asalnya, Nikocado hanya memuat naik kandungan berkaitan gaya hidup vegan. Walau bagaimanapun, beliau kemudian beralih angin ke konten genre ‘mukbang’ kerana berpendapat bahawa komuniti vegan di sekelilingnya menjadi semakin toksik. Video pertamanya tentang gaya hidup vegan masih lagi boleh ditonton di laman Youtube nya.
Bercakap tentang gaya hidup vegan tidak lagi menjadi keutamaan dalam konten genre vegan. Masing-masing cuba untuk memburuk-burukkan peribadi orang lain dalam komuniti ini. Ia sangat toksik, jadi saya membuat keputusan untuk tidak lagi menjadi sebahagian daripada komuniti vegan,”
Nikocado Avocado, Youtuber Mukbang

Dari vegan bertukar menjadi pemakan tanpa kawalan
Nikocado akhirnya mengisytiharkan dirinya bukan lagi seorang vegan pada penghujung 2016 dan memuat naik video pertamanya memakan telur pada 8 Januari 2017. Menurutnya, ini merupakan kali pertama beliau memakan semula makanan berasaskan haiwan dalam masa 5 tahun. Dengan itu, maka bermulalah identiti baharu Nikocado yang bakal membawa situasi tragis dalam hidupnya.
Beliau memiliki 4 saluran Youtube; Nikocado Avocado, Nikocado Avocado 2, More Nikocado, dan Nikocado Avocado 3, yang mana memiliki jumlah pengikut terkumpul sebanyak 5.5 juta. Saluran Youtube utamanya masih menerima tontonan lebih 1 juta.

Namanya semakin melonjak setelah ceritanya ‘murtad’ dari gaya hidup vegan diterbitkan oleh media Daily Mail. Menerusi artikel ini, penonton Nikocado menjadi lebih tertarik untuk mengetahui perkembangan 360 darjah Nikocado; iaitu makan dalam jumlah yang banyak menerusi konten ‘Mukbang’. Nikocado juga sedar bahawa untuk mendapatkan lebih banyak perhatian daripada penonton, beliau perlu mencipta lebih banyak drama di samping konten mukbangnya.
Pada tahun 2020, Nikocado mula memuat naik video mukbang makanan segera seperti mi goreng, ayam goreng dan macam-macam lagi, pada hampir setiap hari. Beliau membuat konten mukbang tersebut bersama burung kakak tua peliharaannya.

Bukan itu sahaja, Nikocado juga kerap memuat naik video liar dan ekstrim yang membuatkan penontonnya mula risau. Menurut Nikocado, beliau mengambil kesempatan di atas ketidakstabilan emosinya untuk dijadikan bahan tontonan umum (sambil mukbang).
Mereka suka bila saya marah, mereka suka bila saya menangis, mereka suka bila saya sangat aktif. Maka, saya buatlah. Tajuknya, saya memang sengaja buat macam ‘clickbait'”
Nikocado Avocado, Youtuber Mukbang
Kontroversi menjadikannya Youtuber paling dibenci
Drama Youtuber ini mula memuncak selepas Nikocado Avocado membuat satu video kolaborasi bersama Youtuber mukbang yang lain iaitu Stephanie Soo dan Zach Choi. Mereka mendakwa bahawa Nikocado sering menghantar teks yang mengancam keselamatan dan mengambil foto mereka secara senyap-senyap.
Nikocado walau bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut meskipun kedua-dua Youtuber tersebut memfailkan saman ke atas penafian Nikocado. Pengikutnya mula membenci Nikocado dan meninggalkan komen negatif di ruangan komen. Sejak peristiwa itu, konten Nikocado dilihat semakin pelik dan ‘dark’.

Mengimbas semula sejarah hidupnya, Nikocado mengakui bahawa beliau sememangnya menghidapi masalah mental kerana terlalu cuba untuk memahami sebab di sebalik ibu bapa kandungnya memberinya kepada keluarga angkat. Nikocado mula sering meragam dan dibawa oleh kedua ibu bapanya untuk pergi ke sesi terapi sejak usianya 5 tahun. Susulan itu, Nikocado diberi ubat anti-depressan oleh doktornya.
Sekitar usia remajanya pula, Nikocado didiagnos memiliki penyakit ADD (Attention Deficit Disorder) dan OCD (Obsessive-Compulsive Disorder).
Nak tinggalkan Youtube sejak 2020, tapi ianya sekadar ‘clickbait’
Sambil makan makanan dalam kuantiti yang banyak, Nikocado terus memuat naik video yang mengancam akan meninggalkan dunia Youtube, menyalahkan pengikutnya kerana menjadi punca keretakan hubungan rumah tangga dengan suaminya dan menuduh Youtuber David Dobrik mencuri gaya ciptaan kontennya.
Sebagai seorang yang sentiasa dahagakan perhatian, Nikocado sempat membuat pengumuman pada bulan November 2020 bahawa beliau ingin berhenti daripada Youtube untuk fokus kepada kesihatannya dan hubungan romantis dengan suaminya. Namun, perkara sebaliknya berlaku – beliau tetap mencipta konten.

Sehingga akhirnya pada bulan September 2021, keadaan fizikal Nikocado semakin parah apabila 3 tulang rusuknya patah kerana batuk yang teruk dan berterusan selama berbulan-bulan sebelumnya. Meskipun sudah sampai ke tahap memakai bantuan oksigen, Nikocado tidak serik dan meneruskan aktiviti mukbangnya meskipun terlantar di atas katil. Tajuk Youtube nya? “Diet saya sebagai seorang yang kurang upaya”. Gila!
Sekiranya anda mengalami kesukaran dalam tabiat pemakanan dan gangguan mental, sila dapatkan bantuan pakar dengan segera.