Habis rosak barang pelanggan.
Kotak Kek Lapis Sarawak Ditebuk, Netizen Berang Barang Kiriman Banyak Lesap Dan Rosak. Isu kurier penghantaran ini bukanlah sesuatu yang baharu. Malah, perkara ini pernah tular beberapa bulan yang lalu kerana sikap pekerjanya yang tidak profesional dalam mengendalikan barang kiriman pelanggan.
Terkini, tular beberapa hantaran di laman Facebook berkenaan barang kiriman mereka yang sampai dalam keadaan yang tidak sempurna. Lebih mengecewakan, pekerja servis kurier tersebut sendiri dipercayai berlaku khianat terhadap barang kiriman pelanggan mereka yang sepatutnya ditatang umpama minyak yang penuh. Kebanyakan luahan yang dikongsikan ini adalah pada hari yang sama iaitu pada 4 Mei 2021.
Barangan dihantar kepada pelanggan menggunakan bungkusan plastik
Menerusi hantaran seorang pengguna Facebook yang bernama Kris Syarmaine ini, beliau menunjukkan barang yang sampai kepada pelanggannya dalam keadaan yang teruk dan dihantar dalam bungkusan plastik. Barangan tersebut yang asalnya dibalut di dalam kotak dengan kemas dan tebal menggunakan gelembung pembalut udara dan pita pelekat sampai ke tangan pelanggan dalam keadaan bocor, berminyak dan pecah akibat kecuaian pekerja servis kurier tersebut.

Sumber : Facebook
Balang batang buruk tinggal setengah dengan penutup terbuka
Satu lagi hantaran berang netizen adalah daripada pengguna Facebook yang bernama Mohd Helmi. Melalui hantaran yang dimuat naik pada 4 Mei semalam, barangan belian Helmi yang iaitu beberapa balang batang buruk turut dirembat oleh pekerja servis kurier itu. Barangan tersebut dihantar dari penjual yang berada di Tuaran, Sabah kepada Helmi yang berada di Ampang, Selangor.
Lebih mendukacitakan, perkara tersebut disahkan dengan penjual yang mendakwa bahawa balang tersebut sememangnya diisi dengan penuh. Tetapi, semasa sampai ke tangan Helmi, balang berisi biskut batang buruk tersebut hanya tinggal separuh dengan penutup balang tersebut sudah terbuka. Bagi menyembunyikan perbuatan khianat mereka, pekerja tersebut didakwa menyamakan jumlah batang buruk yang ada di dalam balang dengan harapan agar Helmi tidak menyedari helah buruk mereka.
Menurut Helmi, ini merupakan pengalaman buruk kali kedua daripada syarikat kurier terhadapnya.

Kotak Kek Lapis Sarawak ditebuk dan dicuri
Pada hari yang sama, satu lagi hantaran berasingan berkaitan J&T turut tular. Situasi yang agak sama dialami oleh pengguna yang bernama Ayyda Rezwan ini. Pekerja kurier ini juga didakwa mencuri kiriman pelanggan yang berisi makanan. Dalam kes Ayyda, makanan yang dikirim adalah berupa Kek Lapis Sarawak. Menerusi gambar yang dimuat naik juga, kotak yang diperolehi oleh wanita ini juga didapati mempunyai 2 lubang walaupun telah diletakkan satu nota pendek dengan pesanan agar kotak tersebut dikendalikan dengan baik.
Ayyda juga mendakwa perbuatan mencuri yang dilakukan oleh pekerja kurier ini adalah sesuatu yang perlu dibanteras dan diambil tindakan tegas oleh pihak pengurusan syarikat kurier tersebut kerana telah merosakkan integriti syarikat. Banyak laporan dan aduan telah dibuat namun perkara seperti ini seolah-olah tiada tindakan susulan daripada kurier.
“Agak terkilan di sini kerana perkara sebegini tidak seharusnya terjadi. Ini sangat MEMALUKAN nama kurier kalian sendiri kerana sudah hilang integriti dalam melaksanakan tugas. Tambahan pula di bulan Ramadan yang mulia ini,”
Ayyda Rezwan, pelanggan J&T




Kotak kiriman sampai umpama ‘balut belacan’
Kerosakan yang sama turut dialami oleh seorang lagi pengguna Facebook yang bernama Osborne Panus Jatan. Barangan yang diterima oleh lelaki juga turut rosak luar dan dalam. Kotak kiriman sampai dalam keadaan yang tidak sempurna malah barangan di dalamnya berupa makanan dan barangan peribadi berjenama turut rosak. Hal ini telah mendatangkan kerugian buat Osborne sehingga beliau meluahkan rasa serik untuk menggunakan servis kurier ini.

Balang biskut kosong dibalut dan disimpan semula di dalam kotak
Menerusi pemerhatian, kurier yang mengandungi makanan adalah barang kiriman yang paling banyak terjejas dek kerana servis kurier ini. Ini pula merupakan tangkap layar hantaran pengguna Facebook pada 1 Mei lalu yang mendakwa biskut yang dipesannya telah dimakan oleh pekerja kurier ini. Malah, balang biskut yang telah kosong disimpan dan dibalut semula di dalam kotak.
Walau bagaimanapun, untuk kes Mohd Fariz, syarikat tersebut telah membuat permohonan maaf namun beliau berpendapat permohonan maaf sahaja tidak mencukupi dan seolah-olah ibarat melepaskan batuk di tangga.

Sebagai sebuah syarikat kurier, pihak syarikat ini sepatutnya sentiasa memantau tahap disiplin dan tatatertib pekerja. Syarikat kurier diamanahkan dengan barang kiriman pelanggan yang menyimpan seribu satu kisah yang tidak kita ketahui di sebaliknya. Mungkin ada yang menghantar kiriman setelah sekian lama mengumpul wang untuk membeli atau bahkan barangan kiriman tersebut mempunyai nilai nostalgia dan sebagai tanda kerinduan kepada insan yang tersayang.
Buat aduan kepada SKMM sekiranya mengalami kejadian seperti ini
Jika anda mempunyai pengalaman buruk seperti ini, jangan lupa untuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) di pautan https://aduan.skmm.gov.my/ agar tindakan semberono syarikat ini dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012.
Syarikat kurier yang didapati cuai, ingkar dan melanggar mana-mana perundangan subsidiari di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM300,000 atau tempoh penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali.