Syarikat Penerbangan baharu Sarawak bakal jadi penghubung strategik
Syarikat Penerbangan Baharu Sarawak Jadi Penghubung Strategik, Pacu Mobiliti Dan Pertumbuhan Ekonomi. Dilaporkan, pada tahun 2025 Sarawak akan memasuki era baru dalam industri penerbangannya dengan pelancaran syarikat penerbangan komersial miliknya. Inisiatif ini akan memperkukuh perkhidmatan udara di Sarawak dan Sabah, khususnya di kawasan luar bandar, selain menjadi penghubung ekonomi penting dengan menyokong perdagangan serta pergerakan idea merentasi sektor seperti pelancongan, logistik, bekalan makanan, dan pembuatan.
Syarikat penerbangan ini juga akan bertindak sebagai pemangkin kepada rangkaian ekonomi dan peluang dalam serta luar rantau ini. Ini termasuk memudahkan perjalanan ke bandar-bandar strategik di Asia Tenggara dalam radius penerbangan enam jam dari ibu pejabatnya di bandar raya Kuching. Jangkauan ini menghubungkan Sarawak dengan rantau yang menempatkan hampir separuh daripada populasi dunia, sekaligus memperkukuhkan potensi perdagangan dan pelancongan Sarawak pada skala antarabangsa.

Inisiatif Perkhidmatan Udara Luar Bandar
Selaras dengan inisiatif Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) kerajaan Persekutuan, syarikat penerbangan ini akan terus menghubung ke komuniti paling terpencil di Sarawak dan Sabah. Menurut Peter Sibon dari Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), kerajaan Sarawak dijangka memperoleh MASwings menjelang akhir tahun ini sebagai langkah strategik untuk memperkasakan visi Sarawak 2030 menuju status maju melalui Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) dengan fokus kepada kemapanan ekonomi dan keterangkuman.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yakin bahawa syarikat penerbangan milik Sarawak ini boleh memulakan operasi seawal tahun depan. Ketika berucap pada majlis makan malam Lan Berambeh Anak Sarawak 2024 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur, beliau menyatakan bahawa isu mengenai pengambilalihan MASwings dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan.

Dengan syarikat penerbangan sendiri, ia akan memudahkan perjalanan antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia, katanya. Idea mengenai syarikat penerbangan ini mula timbul pada 2019, didorong oleh kekurangan penerbangan langsung yang mampu milik, terutama pada musim perayaan, serta keperluan untuk mempertingkatkan hubungan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, dengan mengambil kira bahawa Sarawak terletak di sebuah pulau, dan rakyat tidak boleh berenang ke sini.
Pada 15 Jun 2023, cadangan itu muncul selepas kerajaan Persekutuan mengusulkan agar Sarawak mengambil alih MASwings, peneraju dalam sektor penerbangan komuter Malaysia Timur sejak dilancarkan pada 1 Okt 2007.

