“Saya hanya snorkeling (selam paras permukaan), bukan Discovery Scuba Diving,” – usahawan popular
Langgar Peraturan Di Pulau Sipadan, Usahawan Popular Ini Dikenakan Denda RM3K. Enakmen Taman-Taman 1984 (Pindaan 2007) yang diguna pakai bagi kawasan Taman-Taman Sabah (TTS) adalah jelas terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian. Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran peraturan di kawasan ini, denda sehingga RM3,000 boleh dikenakan sebagai tindakan undang-undang.
Menurut Pengarah Borneo Divers, Datuk Abdul Hajan Gurimbang, TTS tidak memberikan sebarang keistimewaan kepada mana-mana pihak termasuk pelabur dalam dan luar negara yang berhasrat untuk melabur di Semporna.

“Orang ‘besar’ atau ‘kecil’ peraturan perlu dipatuhi”
Peraturan TTS ini adalah sama untuk semua. Setiap individu yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda sebanyak RM3,000 di bawah enakmen tersebut. Malah, kumpulan penyelidik yang pernah memasuki kawasan pulau yang ditutup untuk penyelidikan turut dikenakan denda,” katanya ketika ditemui pemberita, Jumaat lalu.
Kenyataan Datuk Abdul Hajan itu dibuat susulan isu tular di media sosial berkenaan seorang usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri yang dilaporkan memasuki Pulau Sipadan, yang kini ditutup sementara oleh TTS bagi tujuan kerja-kerja restorasi.
Sebagai pemain industri pelancongan di Semporna, Abdul Hajan menjelaskan bahawa isu tersebut hanya diketahui mereka setelah ia menjadi tular di media sosial.
“Pulau Sipadan ditutup setiap November bagi tujuan pemuliharaan, dan sebarang aktiviti pelancongan adalah dilarang pada tempoh ini. Tindakan memasuki kawasan larangan ini sepatutnya boleh dikenakan denda oleh pihak TTS,” jelasnya.
Pulau Sipadan merupakan antara tarikan pelancongan utama di Sabah yang terkenal dengan keindahan dasar lautnya, dan TTS telah lama menguatkuasakan peraturan ketat demi memelihara kelestarian ekosistem pulau ini. Setiap tahun, TTS mengeluarkan surat pekeliling memaklumkan bahawa pulau tersebut akan ditutup bagi tujuan pemuliharaan pada bulan November. Namun, Abdul Hajan mengakui bahawa kemungkinan usahawan tersebut tidak menyedari pekeliling tersebut, walaupun ia dihebahkan kepada umum.
Beliau turut menyeru pihak TTS agar memperkukuh penguatkuasaan undang-undang tanpa pengecualian, tanpa mengira status atau latar belakang individu yang melakukan pelanggaran.
Peraturan diwujudkan supaya dipatuhi oleh semua, tanpa mengira ‘orang besar’ atau ‘orang kecil’. Kesamarataan dalam penguatkuasaan penting untuk memastikan setiap pihak menghormati peraturan yang ada demi kepentingan alam sekitar kita.”
Dalam pada itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan TTS dalam menguruskan isu ini.
Kita yakin TTS tahu apa yang perlu dilakukan, dan sudah tentu keputusan menutup pulau dibuat dengan alasan yang kukuh,” katanya.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan isu berkenaan tindakan usahawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) yang mengakui telah memasuki Pulau Sipadan. Beliau turut memohon maaf jika tindakannya itu menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pemain industri pelancongan. DSV menjelaskan bahawa tujuannya memasuki kawasan pulau tersebut adalah atas urusan perniagaan, dan beliau hanya melakukan aktiviti selam paras permukaan, bukannya aktiviti selaman skuba penuh.

