MDA larang jual kanta lekap & alat optik secara atas talian – Ini sebab kenapa pembelian online tak lagi dibenarkan
Kanta Lekap Atau Alat Optik Dilarang Dijual Online, Boleh Didenda 200K Atau 2 Tahun Penjara. Orang ramai yang gemar membeli kanta lekap atau alat optik secara atas talian mungkin perlu hentikan tabiat ini segera.
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah mengeluarkan larangan rasmi terhadap penjualan peranti tersebut melalui platform e-dagang atas faktor keselamatan dan kesihatan pengguna.

Kenapa tak boleh beli online?
Menurut Ketua Eksekutif MDA, Dr. P. Muralitharan, kedua-dua alat ini – kanta lekap dan alat optik – dikategorikan sebagai peranti perubatan yang tertakluk di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).
Lebih penting lagi, peranti ini juga termasuk dalam kategori ‘prescribed medical device’, yang bermaksud ia hanya boleh dibekalkan oleh Juru Optik atau Optometris berdaftar sahaja, seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Optik 1991 (Akta 469), Seksyen 30, yang dikuatkuasakan oleh Majlis Optik Malaysia (MOC).
Risiko beli tanpa nasihat pakar
Penggunaan kanta lekap atau alat optik tanpa rundingan pakar boleh membawa risiko kesihatan kepada mata dan penglihatan. Ini termasuk iritasi, jangkitan serius, atau kerosakan mata kekal jika produk tidak sesuai atau digunakan secara tidak betul.
Oleh itu, MDA menasihatkan orang ramai untuk tidak membeli kanta lekap atau alat optik secara dalam talian tanpa preskripsi dan pemeriksaan mata terlebih dahulu.
Penjualan online tidak akan diluluskan
Sebagai langkah penguatkuasaan, MDA juga tidak akan meluluskan sebarang bentuk iklan atau penjualan kanta lekap dan alat optik secara dalam talian.
Dr. Muralitharan menjelaskan bahawa mana-mana individu atau syarikat yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Peranti Perubatan (Pengiklanan) 2019, yang membawa denda maksimum RM200,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Platform e-dagang juga boleh dikenakan tindakan
Bukan itu sahaja, platform atas talian yang membenarkan penjualan peranti ini tanpa kebenaran sah turut boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Nampak penjualan haram? Lapor kepada MDA
MDA menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penjualan kanta lekap dan alat optik secara tidak sah untuk membuat laporan melalui:
📍 Sistem Pengurusan Maklum Balas MDA (FEMES)
📧 Emel: [email protected]
Langkah ini bukan untuk menyusahkan pengguna, tetapi demi menjaga keselamatan dan kesihatan mata anda. Mata hanya satu – pastikan anda mendapatkan peranti optik hanya daripada sumber yang sah dan bertauliah. Jangan ambil mudah soal kesihatan mata.

