Isu 50 Sen Cetus Insiden Perkauman di Shah Alam
Pembantu Jualan Dayak Dihina Dan Diugut Di Shah Alam, Menteri Seru Polis Ambil Tindakan Tegas. Sebuah kejadian yang melibatkan penghinaan ke atas seorang pembantu jualan berketurunan Dayak di pusat membeli-belah Central i-City, Shah Alam, baru-baru ini telah mencetuskan kemarahan orang ramai selepas rakaman CCTV insiden tersebut tular di media sosial.
Insiden tersebut berpunca daripada seorang lelaki yang dikatakan berang apabila diminta oleh pembantu jualan berkenaan sama ada beliau mempunyai duit syiling 50 sen untuk pembelian ais krim. Lelaki itu bukan sahaja bertindak memaki hamun pembantu jualan tersebut, malah turut mengugut untuk menggari pekerja tersebut.

Ramai netizen tampil mendesak agar tindakan tegas diambil terhadap individu tersebut
Mengulas kejadian ini, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menegaskan bahawa tindakan tersebut merupakan perbuatan tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang mendukung perpaduan serta saling hormat-menghormati antara rakyat Malaysia.
“Lebih membimbangkan, insiden ini turut melibatkan penghinaan berunsur perkauman yang tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat majmuk seperti negara kita. Setiap individu di Malaysia berhak mendapat penghormatan tanpa mengira latar belakang kaum, agama, atau status sosial,” jelas beliau.
Datuk Aaron turut menyeru pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku.
Beliau juga mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar terus mempertahankan keharmonian serta perpaduan yang telah lama dipupuk.
“Setiap individu memainkan peranan penting untuk memastikan negara kita terus maju dalam suasana yang aman, penuh kasih sayang dan saling memahami,” tambah beliau lagi.
Susulan kejadian ini, ramai netizen tampil mendesak agar tindakan tegas diambil terhadap individu tersebut, selain menggesa penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat bagi membendung diskriminasi dan ucapan kebencian di Malaysia.

