Tak kenal maka tak cinta
Ketahui 4 Makanan Tradisi Kaum Di Sarawak Yang Unik Dan Underrated. Apakah makanan tradisi Sarawak yang anda tahu? Ayam pansuh? Umai? Linut? Itu semua sudah biasa.
Terdapat banyak lagi makanan tradisi Sarawak sebenarnya yang enak dan tidak diketahui umum. Jika anda menanyakan hidangan ini kepada suku kaum asal yang memakan hidangan tersebut, pasti mereka akan terkenang dan rindu akan makanan ini kerana ia jarang ditemui melainkan anda menghasilkan sendiri di rumah.
Untuk artikel kali ini, mari kita kenali 4 makanan tradisi kaum Sarawak yang underrated tapi sedap dimakan. Jom!
1. Essam
Essam merupakan makanan tradisi kaum Bidayuh. Jika sebelum ini anda hanya mengenali masakan buluh seperti ayam pansuh sahaja, essam ini juga merupakan sejenis masakan dalam buluh. Bezanya, ia adalah hidangan nasi bercampur isi ayam dan dimasak di dalam buluh seperti mana memasak lemang dan ayam pansuh.
Cara masakan essam juga sedikit berlainan daripada masakan nasi dalam buluh kerana ia menggunakan nasi yang telah dimasak. Nasi yang digunakan haruslah dibiarkan sejuk dan berderai terlebih dahulu sebelum menggaulkannya dengan isi ayam mentah bersama bahan perasa seperti serai, bawang putih dan garam.
Kemudian, nasi itu tadi akan dimasukkan ke dalam buluh sedikit demi sedikit sambil diketuk supaya isinya padat. Hujung nya pula disumbat dengan pucuk daun ubi seterusnya dibakar selama lebih kurang 40 minit hingga 1 jam.
Setelah masak, buluh pula harus dibuang kulit nya kemudian boleh lah dikeluarkan isi atau dibelah untuk diberikan sebagai hadiah kepada tetamu.
Kebiasaannya, masyarakat Bidayuh memakan essam ini begitu sahaja. Jika ada pun kuah atau hidangan lain, ia boleh dijadikan sebagai lauk sampingan.
Ramai yang kata hidangan ini lebih lazat daripada ayam pansuh. Pokoknya, lengkap dan mengenyangkan!
2. Pipus
Kaum Melanau sememangnya terkenal dengan makanan tradisi mereka seperti umai dan linut. Namun, tidak ramai yang tahu akan keunggulan makanan tradisi mereka yang satu ini iaitu pipus.
Pipus merupakan sejenis hidangan ikan cincang yang dibakar di dalam daun nipah. Ia terkenal dalam kalangan kaum Melanau di daerah Matu Daro.
Pipus ini boleh didapati dalam pelbagai jenis seperti pipus ikan pari, pipus ikan gonjeng, pipus ikan sardin, pipus ikan sardin, pipus ikan yu, pipus ikan buntal dan pipus udang. Malah, ada juga pipus yang diperbuat daripada telur ikan.
Ikan-ikan yang digunakan untuk membuat pipus ini akan dicincang sehalus yang mungkin kemudian dicampurkan dengan rempah ratus. Ia kemudian dibungkus atau ‘dipais’ di dalam lipatan daun nipah dan dibakar sehingga masak.
Masyarakat Melanau gemar memakan pipus bersama nasi atau sagu. Walau pun begitu, hidangan ini juga sebenarnya boleh dimakan begitu sahaja. Ada juga yang memakannya sebagai hidangan minum petang bersama segelas teh atau kopi.
3. Urum
Urum merupakan sejenis hidangan cucur tradisi masyarakat Orang Ulu. Urum merupakan cucur beras pulut yang digoreng sehingga rangup dan kebiasaannya dimakan untuk hidangan santai dan minum petang.
Walau pun begitu, hidangan ini mempunyai panggilan yang berbeza-beza mengikut suku kaum dalam masyarakat Orang Ulu. Bagi suku kaum Kayan, ia dipanggil dinu. Kaum Kelabit pula memanggilnya dengan gelaran aye’ pulut.
Urum ini diperbuat daripada beras pulut, gula dan air. Untuk menghasilkan urum yang sedap dan rangup, beras pulut hendaklah direndam di dalam air selama beberapa jam sehingga beras tersebut lembut dan patah.
Kemudian, beras ini perlulah dihancurkan sehingga menjadi beras pulut kasar dengan menggunakan lesung batu atau pengisar kering dan dicampurkan dengan sedikit gula dan air sebelum digoreng.
Masyarakat Kayan gemar memakannya bersama uve’kele iaitu hidangan daun pucuk ubi yang dihancurkan. Mesti nyaman tok!
4. Pekasam Daun Ubi
Pekasam selalunya diperbuat daripada ikan yang diperam bersama beras dan garam. Berbeza pula dengan hidangan tradisi Bidayuh ini, ia diperbuat daripada pucuk ubi dan diperam bersama nasi dan garam.
Hidangan ini biasanya digoreng dengan belacan atau dimakan terus bersama nasi. Rasanya pula agak masam-masam masin disebabkan gabungan jus dari nasi dan pucuk ubi.
Kalau dah namanya pekasam, tentulah hidangan ini tahan selama berbulan dan sesuai untuk dimakan jika buntu hendak menyediakan lauk apa pada hari tersebut.
Belum cuba belum tahu, kan?
Jika anda berkunjung atau tinggal di Sarawak, jangan lupa untuk mencuba hidangan tradisi ini. Pasti ia akan meninggalkan suatu rasa yang boleh anda rindui jika anda jauh dari Bumi Kenyalang.