Mahkamah Perancis Tolak Tuntutan Sulu, Malaysia Selamat dari Bayaran Tinggi
Menang Kes Tuntutan, Malaysia Bebas Dari Bayaran USD 15 Bilion Kepada Pewaris Sulu. Malaysia raih kemenangan bersejarah dalam kes tuntutan Sulu setelah Mahkamah Agung Perancis menolak cabaran yang dibawa oleh pihak yang mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu yang telah lama tidak wujud.
Keputusan ini, yang diumumkan oleh Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said, mengesahkan bahawa asas awal bagi Perintah Akhir palsu yang mengarahkan Malaysia membayar USD 15 bilion tidak diiktiraf di bawah undang-undang Perancis.

Mahkamah Agung Perancis Tolak Tuntutan USD 15 Bilion
Dengan penolakan ini, Mahkamah Rayuan Paris akan meneruskan proses untuk membatalkan Perintah Akhir yang diisytiharkan oleh Dr. Stampa, yang didakwa memberikan keputusan memihak kepada pihak Sulu. Keputusan ini dijangka akan menyelesaikan isu ini dengan tuntas, memihak kepada rakyat Malaysia.
Azalina menyatakan bahawa keputusan ini adalah kemenangan penting untuk kedaulatan undang-undang dan menegaskan bahawa ia juga mengukuhkan penghormatan terhadap timbang tara antarabangsa sebagai alternatif penyelesaian pertikaian yang sah. Malaysia berharap keputusan ini dapat mengekalkan integriti proses timbang tara antarabangsa dan menghentikan penyalahgunaan undang-undang bagi tuntutan yang tidak sah.
Menteri tersebut juga menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas sokongan dan keyakinannya dalam usaha menegakkan hak Malaysia. Penghargaan turut diberikan kepada Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, Menteri Komunikasi, YB Tuan Fahmi Fadzil, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, serta pelbagai pihak lain yang turut terlibat termasuk pihak Kedutaan Malaysia di Perancis dan Kementerian-kementerian serta agensi berkaitan.
Keputusan ini adalah langkah positif dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada tuntutan tidak sah yang boleh memberi kesan besar kepada kestabilan kewangan dan kedaulatan Malaysia di arena antarabangsa.

