Destinasi Air Terjun Terbaik untuk Berenang dan Berkhemah di Kuching
Menjelajah Air Terjun Menarik Di Sekitar Kuching. Kuching, Sarawak yang meriah dan dikurniakan dengan keajaiban semula jadi yang spektakular yang terletak berhampiran bandar. Antara tarikan semula jadi ini adalah air terjun yang menakjubkan yang mengalir melalui kawasan hutan hijau yang subur. Air terjun yang mudah diakses ini menyediakan destinasi yang sempurna bagi mereka yang ingin pergi ‘healing’ pada hujung minggu yang menyegarkan untuk meresapi keindahan semula jadi yang memukau.
Air terjun ini mempamerkan biodiversiti Sarawak sekaligus menyediakan tempat melarikan diri daripada persekitaran bandar. Ini adalah senarai air terjun terbuka kepada orang awam yang berminat untuk melakukan aktiviti berenang, mendaki, berkhemah, dan berkelah di sekitar air terjun. Selain dikelilingi oleh alam semulajadi, anda pun boleh menikmati masa perkelahan anda dengan melakukan aktiviti berenang atau merendam diri di dalam sungai yang mengalir dari air terjun disenaraikan. Jom kita tengok dimana air-air terjun ini terletak di sekitar Kuching!
1. Kampung Koran Bari, Serian
Terletak lebih kurang 15km dari pekan Serian, anda akan menikmati rasa mandi di dalam sungai yang sejuk dan kebiruan. Tidak banyak orang tahu tentang tempat ini kerana hanya penduduk kampung dan kawan-kawan mereka sahaja yang tahu dan berkunjung ke sini. Namun, mereka turut mengalu-alukan orang luar untuk berenang di sungai kat kampung mereka. Air di dalam sungai mengalir dari air terjun yang kecil di hulu sungai dan sesuai untuk aktiviti mandi santai-santai.
2. Air Terjun Bian Kampung Begu, Padawan
Juga salah satu air terjun underrated, air terjun ini terletak di Kampung Begu di Padawan. Anda boleh lakukan aktiviti BBQ di sini sambil menghayati alam semulajadi yang indah! Tenang is good!
3. Air Terjun Kampung Sadir, Padawan
Terdapat beberapa air terjun berhampiran Kampung Sadir, Padawan. Dua air terjun terdekat kampung ini adalah air terjun Skedu dan air terjun Ban Buan Sadir. Sekiranya anda tidak mahu buang tenaga untuk hiking ke air terjun yang lain, anda boleh berkunjung ke air terjun Skedu, air terjun paling terdekat, siap ada jalan semen lagi ke sana!
Ban Buan Sadir terletak di pinggir Kampung Sadir. Ketika dalam perjalanan, anda akan nampak beberapa rumah di kaki bukit, dan teruskan perjalanan mengikut aliran sungai tepi jalan dan berjalan kaki ke hujung ke arah hulu sungai. Anda akan jumpa air terjun yang menakjubkan disebalik batu-batu di sana.
Jika anda nak menerokai air terjun lain, anda boleh menuju ke air terjun Mabi, di mana jambatan bamboo telah disediakan untuk memudahkan perjalanan anda ke sini. Ia merupakan jalan on the way ke air terjun Ban Buan Kukuot. Air yang terjun dari air terjun Mabi walaupun kecil, ia cukup menakjubkan.
Tetapi berbanding dengan air terjun Mabi, air terjun Ban Buan Kukuot lebih power dari segi ketinggiannya yang setinggi dua tier. Jika anda masih mahu tengok air terjun lain selain air terjun Mabi, anda teruskan perjalanan di trek yang sudah disediakan. Anda akan nampak air terjun Ban Buan Kukuot dari jauh dan akan rasa diganjarankan apabila anda nampak air terjun ini up close and personal!
4. Air Terjun Sebarau, Borneo Highlands
Lebih spesifik lagi, air terjun ini terletak di Kampung Bidak dan terletak satu jam dari bandar Kuching. Juga dikenali sebagai air terjun Bidak, untuk pergi ke sini anda akan perlu parking kereta anda di Kampung Bidak dan berjalan kaki lalui trail yang sudah disediakan (ia akan mengambil masa kira-kira 20 minit). Sekiranya ini kali pertama pergi ke sana, dicadangkan untuk minta bantuan penduduk kampung untuk guide anda untuk mengelak diri sesat (dan juga mengelak trail yang berkondisi teruk jika anda berkunjung semasa off season) Anda akan melihat beberapa aliran tersembunyi semasa anda dalam perjalanan ke air terjun. Dikatakan perjalanan ke air terjun adalah senang jadi jika anda nak gunakan selipar daripada kasut, go ahead jak!
Maklumat lain
Lokasi: 94700 Siburan, Sarawak
Waktu operasi: 24 jam
5. Air Terjun Satow, Singai
Kurang dari sejam dari bandar Kuching, anda boleh berkunjung ke Kampung Bobak dimana air terjun Satow terletak. Dengan tinggian setinggi sekurang-kurangnya 6 tier, anda boleh menghayati alam semulajadi dengan adanya kemudahan yang disediakan seperti tempat berteduh serta BBQ pit untuk melakukan aktiviti BBQ! Anda boleh mandi di dalam kolam tier pertama air terjun tersebut, tetapi untuk melihat keindahan yang lebih menakjubkan, anda boleh pergi ke tier kedua air terjun tersebut dimana air mengalir dengan lebih kuat ke batu-batu di bawah. Sesuai untuk mengambil gambar!
Maklumat lain
Lokasi: 93050 Bau, Sarawak
6. Air Terjun Kubah, Kubah National Park
Di Kubah National Park, salah satu trail yang menuju ke air terjun Kubah sudah disediakan. Anda perlu melalui trail ini untuk pergi ke air terjun tersebut dan akan mengambil masa 1.5 jam. Setelah mendaftarkan diri di pondok pendaftaran, anda boleh mula trek menuju ke air terjun Kubah. Anda tidak perlu risau tentang jalan ke sana sebab trail yang mudah sudah disediakan untuk anda. Walau bagaimanapun, dikatakan trail ini boleh dikira mencabar sedikit jadi pastikan stamina dan ketahanan fizikal anda cukup. Sebagai motivasi, biar mencabar tapi last-last akan rasa berbaloi!
Air terjun utama mempunyai dua bahagian iaitu satu bahagian di mana air mengalir dari ketinggian 10m ke sebuah batu yang lebar di bawah. Di bawah batu lebar ini adalah sebuah kolam kecil, sesuai untuk berendam. Sebahagian aliran membentuk air terjun yang berasingan di sebelah kanan.
Maklumat lain
Lokasi: 93050 Kuching, Sarawak
Waktu operasi: 8am-4pm
7. Air Terjun Ranchan, Ranchan Recreational Park
Salah satu tempat perkelahan terkenal di Serian, taman ini mesra keluarga dan mempunyai kemudahan seperti tempat berteduh, BBQ pit, jambatan dan tangga untuk para pengunjung. Anda juga boleh merendamkan diri dalam kolam air terjun yang menjadi salah satu tarikan pengunjung!
Maklumat lain
Lokasi: Jalan Taman Rekreasi Ranchan Serian, 94700 Serian, Sarawak
8. Air Terjun Santubong, Santubong
Untuk pergi ke air terjun ini, anda akan perlu gunakan jalan ke Damai. Setelah melihat papan tanda D-A-M-A-I di sebelah kiri, permulaan trek berada di sebelah kanan anda. Ofis Park Ranger berada di laluan masuk, dimana anda perlu mendaftar diri dahulu. Setelah berdaftar, anda akan nampak trail yang sudah ditandakan iaitu trail Merah dan Biru. Trail warna merah akan menuju ke puncak gunung, trail berwarna biru menuju ke air terjun.
Dalam masa sekurang-kurangnya 30 minit, anda akan sampai ke air terjun terdekat. Terdapat juga jambatan gantung di atas kolam-kolam yang menawarkan pemandangan air terjun dan hutan. Tempat ini juga menyediakan kemudahan seperti BBQ pit dan gazebo-gazebo yang terlindung.
Maklumat lain
Lokasi: 93010 Kuching, Sarawak
Waktu operasi: 24 jam
9. Air Terjun Gunung Gading, Gunung Gading National Park, Lundu
Selain air terjun, salah satu tarikan adalah bunga Rafflesia yang terdapat di persekitaran. Walau bagaimanapun, untuk melihat depan-depan mata bunga yang menakjubkan ini kena ada musim nya, jadi anda perlu merancang masa bila mengunjung ke tempat ini.
Sekiranya melihat bunga Rafflesia bukan keutamaan anda, anda masih boleh mengunjung ke Gunung Gading National Park untuk menikmati salah satu air terjun yang ada. Anda boleh memilih air terjun mana yang anda nak pergi (namun tidak semua ada akses kepada orang awam) dengan berpandu ke trail yang ditandakan dari nombor 1 sehingga nombor 7. Dikatakan air terjun nombor 7 adalah air terjun yang paling menakjubkan.
Maklumat lain
Lokasi: 94500 Lundu, Sarawak
Waktu operasi: 8am-5pm
10. Air Terjun Tajor, Bako National Park, Bako
Terletak di dalam Bako National Park, anda perlu gunakan bot dari Bako Jetty (mengambil masa 20 minit) ke sini. Anda perlu melalui trail Tajor yang sudah disediakan setelah mendaftar di kaunter pendaftaran dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya 2 jam. Trail akan berhenti di Pantai Tajor dan anda akan perlu trek ke hulu sungai untuk sampai ke air terjun Tajor.
Maklumat lain
Nombor telefon: 011-6572 9229
Atas sebab kebanyakkan air terjun yang disenaraikan memerlukan anda untuk trekking, anda dinasihatkan untuk membawa bekalan air dan makanan yang cukup untuk sepanjang jalan. Anda juga dinasihati untuk elak daripada berenang di dalam air sekiranya anda tidak pandai berenang atau ketika musim hujan demi keselamatan anda. Selain itu, diharapkan anda menjaga kebersihan sekeliling ketika berkelah untuk kemudahan para pengunjung seterusnya dan anda pada masa yang akan datang.