Dipercayai Terjangkit Dari Penjaga Zoo
‘Nadia’, Seekor Harimau Malaya Disahkan Positif COVID-19 Di Zoo New York. Pandemik COVID-19 ternyata bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh. Jika selama ini kita hanya mendengar kes jangkitan terhadap manusia sahaja, namun kini sudah ada kes yang disahkan terhadap haiwan pula. Terbaharu, seekor harimau Malaya berusia 4 tahun yang diberi nama ‘Nadia’ turut disahkan positif virus tersebut di sebuah zoo di New York, Amerika Syarikat.
Nadia yang dijaga di Zoo Bronx, New York didapati positif ujian COVID-19 oleh Khidmat Makmal Veterinar Kebangsaan, Iowa, Amerika Syarikat. Selain Nadia, terdapat 6 spesis kucing besar (genus Panthera) yang turut disahkan positif di zoo terbabit. Mereka dipercayai dijangkiti daripada penjaga zoo yang tidak menunjukkan simptom COVID-19.
Nadia Hidap Batuk Kering Sejak Hujung Bulan Lalu
Haiwan yang positif ini dikatakan telah menunjukkan simptom seperti batuk kering sejak akhir bulan lalu setelah terdedah dengan seorang pekerja zoo yang tidak sedar dirinya telah dijangkiti virus berkenaan.
Menurut Paul Calle, ketua veterinar di zoo berkenaan, ini merupakan kes pertama di dunia yang melibatkan seorang pesakit manusia menjangkiti haiwan dan haiwan tersebut turut disahkan positif virus tersebut.
Walau bagaimanapun, Nadia bersama adiknya, Azul beserta 2 ekor harimau Amur dan 3 singa Afrika yang sebelum ini menunjukkan simptom kini semakin pulih.
Selain Nadia dan 6 haiwan tersebut, kesemua spesis kucing besar yang lain tidak menunjukkan simptom sakit seperti mereka.
Belum Ada Bukti Jangkitan Boleh Berlaku Dari Haiwan Ke Manusia
Berdasarkan laporan BBC, kes sebegini adalah sesuatu yang jarang sekali berlaku kerana transmisi daripada manusia ke haiwan belum dikaji dengan mendalam. Zoo Bronx turut menambah bahawa tiada bukti transmisi jangkitan daripada haiwan sama ada anjing atau kucing peliharaan, kepada manusia dilaporkan setakat ini. Kenyataan ini adalah sama dengan kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Apa-apa pun, sama-samalah kita berdoa semoga pesakit COVID-19 serta haiwan-haiwan ini dapat pulih dengan segera. Cuci tangan jangan lupa, begitu juga dengan amalan penjarakkan sosial.
Baca juga kisah seorang individu yang berjaya ‘survived’ dari pandemik influenza 1918 hinggalah COVID-19 :