Diperintah untuk ditutup oleh pihak KKM dengan serta-merta.
Premis Kotor Dan Ada Najis Tikus, Dua Restoran Di Jalan Batu 3 Kuching Diarah Tutup. Dua restoran berdekatan dengan bulatan Batu Tiga diperintahkan untuk ditutup selepas hasil pemeriksaan mengejutkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menemui najis tikus dan lipas di premis masing-masing, semalam.
Sepuluh pegawai yang terdiri daripada pasukan operasi Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching telah menyerbu kedua-dua premis tersebut tanpa pengetahuan mana-mana pihak.

Serbuan kira-kira pukul 5.10 petang itu bermula dengan pemeriksaan di kawasan memasak kedua-dua premis sebelum petugas pemeriksaan menjumpai najis tikus di bawah tempat penyimpanan makanan di restoran pertama.
Sampel yang diperoleh telah disimpan sebagai bukti rekod kesalahan, sementara petugas kesihatan menemui beberapa ekor lipas berkeliaran di restoran kedua selepas kawasan memasak itu disergah.
Hasil serbuan juga menegaskan bahawa salah satu premis gagal mengemukakan sijil pengendalian makanan dan suntikan anti-Typhoid.
Kedua-dua premis tersebut telah diperintahkan ditutup dan dikenakan kompaun atas pelanggaran Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Sebagai rekod, Pejabat Kesihatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching KKM telah mengambil tindakan terhadap 22 premis atas pelbagai kesalahan sejak awal tahun ini.
Pemeriksaan dan pemantauan kebersihan dijangka akan ditingkatkan sepanjang bulan Ramadan yang akan datang.
